Kadang kala sedang asyik si kecil bermain dengan kawannya, tiba-tiba terdengar suara salah seorang menangis. Itu memang perkara normal dan akan berlaku dalam kehidupan mereka setiap hari. Jangan terkejut dengan hal ini, sebaliknya bersikap rasional untuk mengendalikannya.

Dalam proses tumbesaran dan bersosial, kanak-kanak akan sekali-sekala bergaduh, terutamanya apabila mereka berasa bosan atau letih. Kanak-kanak lelaki biasanya lebih agresif daripada kanak-kanak perempuan.  Apabila pergaduhan tidak terkawal, libatkan diri anda dengan segera. Antaranya, anda boleh lakukan langkah-langkah berikut:

1. Asingkan kanak-kanak yang bergaduh.

2. Alihkan perhatian mereka dengan memperkenalkan permainan lain atau mengalihkan perhatian mereka.

3. Jangan menyebelahi sesiapa. Hampir mustahil untuk menentukan siapa yang betul dan salah dalam sebarang situasi.

4. Kadangkala ada kanak-kanak yang boleh bertindak agresif seperti menggigit lawannya dalam pergaduhan itu. Jadi anda perlu memberi perhatian kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa gigitan itu. Allihkan kanak-kanak yang menggigit itu dengan serta-merta dan letakkannya di suatu tempat lain, selamat dan bersendirian selama lima belas minit.

5. Semasa pertama kali bermain dengan kawan-kawan, mungkin anak anda cenderung untuk merampas atau merentap sesuatu barang apabila dia mula bermain buat pertama kali. Apabila berhadapan dengan situasi ini, anda hendaklah membantunya belajar berkongsi dan lebih bersikap baik hati terhadap orang lain.

6. Mungkin ada kanak-kanak lain akan terus berkasar dan bersikap agresif, dan perangai mereka akan menyebabkan mereka tidak diminati dan sukar untuk disukai. Oleh itu untuk kebaikan anak anda, bantulah kanak-kanak itu untuk bersikap baik dengan orang lain.

7. Berikannya suatu contoh yang baik untuk diikutinya dengan sentiasa berlemah lembut, bersabar dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

8. Jelaskan kepada anak melalui tindakan anda bahawa perangainya yang anda tidak suka, bukan dirinya.

9. Sentiasa libatkan diri dan hentikan anak anda dengan serta-merta apabila dia mula memukul kanak-kanak lain. Bersikap tegas tetapi jangan berteriak atau bertindak agresif.

10.Jangan sekali-kali membiarka dia melakukan caranya sendiri dengan berkelakuan agresif atau tidak baik. Sekiranya dia berjaya dengan caranya, dia akan cenderung bersikap sedemikian.

Bergaduh dengan rakan sebaya adalah sebahagian proses pembelajaran si kecil menjadi orang yang lebih matang. Jangan terus menghukum mereka tanpa memberikan penjelasan dan panduan yang betul tentang perbuatan tersebut.