Anak adalah pemerhati dan pengamat setia terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu sebagai ibu bapa, anda harus memperlihatkan wajah ceria, bahasa santun, rangsangan, belaian dan kemanjaan untuk menjadikan anak berada dalam keadaan fitrah.

Manakala komunikasi dan dialog dengan anak seharusnya berlau dengan berbagai cara kerana anak mungkin bertanya sesuatu yang dilihat, dibaca dan ditonton kepada ibu bapanya. Ibu bapa perlu bijak dan sabar memberikan penjelasan supaya fikiran serta perasaan anak terbimbing ke arah kebaikan.

Sekiranya bimbingan dan perhatian rapi tidak diberi, sumber yang ditonton, dilayari, dibaca dan dilihat boleh memberi kesan negatif kepada jiwa dan pemikiran anak.

Mengenali si kecil anda

1. Anak berusia 12 bulan hingga 36 bulan adalah unik. Pada usia ini, mereka baharu belajar mengenali diri sendiri dan membangunkan kemahiran diri.

 

2. Pada tempoh ini juga mereka belajar bertatih dan bercakap.

 

3. Karektor mereka menawan hati sesiapa yang melihat. Gelagat mereka membuatkan ibu ayah sering tertawa.

 

4. Mereka sangat aktif dan bertenaga. Tetapi jangan melabelkan mereka sebagai nakal!

 

5. Penerokaan menjadi agenda utama kanak-kanak usia ini. Sikap ingin tahu, mencuba dan merasa menjadi keinginannya.

 

6. Perkembangan fizikalnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya iaitu berlari lebih laju, boleh memanjat, mengimbangi diri dan lebih stabil imbangan badannya.

 

7. Kerenahnya semakin menjadi-adi seperti cerewet memilih makanan dan sebagainya lagi.

 

8. Mereka semakin bijak memilih pakaian dan permainan kesukaan.

 

9. Kanak-kanak peringkat usia ini juga semakin bijak bermain emosi dengan anda apabila kerap merajuk apabila keinginannya tidak segera dipenuhi dan mahu ibu atau ayah memujuknya.

 

10.Mereka juga cukup terkenal dengan kegemaran ‘buat perangai’ atau tantrum. Ia berlaku disebabkan faktor lapar, letih, sakit, cemas atau iri hati dengan adik-beradik yang lain



Dengan mengenali karektor diri anak, anda lebih mudah mendekati mereka mengikut kaedah yang bersesuaian. Tumbesaran anak-anak dipengaruhi oleh cara didikan yang diguna pakai oleh ibu dan ayah.