Ada sesetengah kanak-kanak sangat takut untuk berjumpa doktor apabila mereka sakit. Sebut sahaja hendak bawa ke klinik berjumpa doktor, mereka sudah mencebikkan muka. Bahkan ada yang menangis dantidak mahu masuk ke dalam bilik doktor.

 

Mungkin pengalaman disuntik oleh doktor membuatkan kanak-kanak mempunyai persepsi yang buruk terhadap doktor. Kesakitan yang dialami saat disuntik membuatkan mereka tidak suka berjumpa dengan doktor walaupun rawatan sakit yang dihidapi tidak memerlukan sebarang suntikan.

 

Sekiranya anda mempunyai anak yang mempunyai fobia terhadap doktor, berikut ada beberapa tip yang mungkin boleh digunakan ketika berhadapan dengan situasi tersebut.

 

1. Sentiasa bersama anak berjumpa doktor

 

Jangan sekali-kali mewakilkan orang lain seperti pengasuh, nenek, datuk atau ibu/bapa saudara membawa anak berjumpa doktor. Pastikan anda sendiri yang meneman anak berjumpa doktor. Biasanya kanak-kanak lebih percaya sekiranya ibu bapa berbual dengn doktor dan beranggapan doktor tersebut adalah kawan ibu ayahnya. Ini boleh membuatkan mereka lebih tenang dan tidak takut.

 

2. Biasakan bermain menjadi doktor

 

Mungkin dengan bermain menjadi doktor menggunakan alat permainan yang lengkap seperti doktor dapat membiasakan anak. Anda boleh mengambil tugas sebagai doktor dan anak menjadi pesakit. Lakonkan tugas yang biasa dilakukan oleh doktor seperti memeriksa suhu dan degup jantung. Anda boleh memberikan penerangan kepadanya tentang tugas doktor yang sangat baik melayan pesakitnya ketika bermain.

 

3. Menghilangkan rasa takut

 

Bagi mengurangkan perasaan takut anak kepada doktor, elakkan daripada mengucapkan kata-kata seperti “Tak akan sakit,” “Tak payah takut,” atau “Jangan menangis.” Jangan sekali-kali memberitahu yang dia tidak akan disuntik kerana jika dia menerima suntikan, tentu anak akan merasakan anda menipunya.

 

4. Menenangkannya

 

Ketika anak sedang diperiksa oleh doktor, sentiasa ada di sisinya. Kehadiran anda memberikan semangat kepadanya. Sekiranya anda meninggalkannya mungkin dia akan berasa takut dan tidak selamat. Bagi menghilangkan rasa takut, anda juga boleh memangkunya ketika doktor memeriksa.