Usaha mendidik dalam membesarkan anak tersayang boleh dimulakan oleh ibu bapa seawal mungkin agar anak boleh membesar menjadi orang yang cemerlang. Bukan saja sebaik lahir ataupun sejak daripada dalam kandungan, bahkan sebelum kehamilan lagi sudah boleh dimulakan.

Pendidikan awal terhadap anak boleh bermula dengan peribadi ibu bapa sendiri. Sebab tu dalam panduan mencari jodoh dalam Islam salah satu kriteria yang disebut ialah cari pasangan yang baik agamanya. Kalau dah mengandung, ibubapa disarankan pula untuk istiqomah dengan amalan-amalan rohani semasa kehamilan.

Manakala bila dah lahir, ibu bapa dah boleh pun mula memberikan pendidikan kepada anak. Tak semestinya bermakna kena guna buku. Untuk bayi, kita perlu beri banyak rangsangan kepada pancaindera mereka sebanyak mungkin.

1. Setiap Anak Yang Lahir Adalah Unik Dan Mempunyai Keistimewaan Tersendiri

Ibubapa perlu ingat, setiap bayi adalah berbeza antara satu sama lain walaupun kembar. Mereka mempunyai kemahuan dan tindak balas berbeza. Walaupun melalui peringkat perkembangan yang sama, tapi ada yang laju sikit ada yang lambat sikit. Contohnya, selalunya bayi pandai duduk dulu sebelum berjalan. Tapi masa yang tepat dia mula duduk dan berjalan tak sama dengan bayi lain.

Ingat, jangan bandingkan perkembangan anak dengan bayi lain. Teruskan memberi galakan dan raikan setiap kemajuan anak! Namun begitu, setiap bayi dijangka perlu mencapai kemahiran yang sepatutnya seperti dalam carta tempoh perkembangan normal. Jadi, adalah penting juga untuk ibu bapa pantau pencapaian anak sebagai pengesanan awal sekiranya anak ada masalah.

2. Bayi Mula Belajar Dengan Pesat Sejak Daripada Mula Dilahirkan

Dalam tempoh 2 tahun pertama kehidupan, otak bayi berkembang pada kadar yang sangat pantas. Oleh itu, sangat penting sebenarnya untuk ibu bapa memberikan sebanyak boleh stimulasi dan rangsangan kepada bayi.

Walaupun pada usia ni kadang-kadang anak nampak macam tak berminat, tak beri tindak balas, nampak macam tak faham dan sebagainya tapi sebenarnya otak bayi ni macam berjalan. Jadi daripada lahir hinggalah usia 4 tahun, dedahkan anak dengan pelbagai perkara baru.

3. Bayi Menggunakan 5 Pancaindera – Deria Rasa, Pendengaran, Penglihatan, Sentuhan Dan Bau Untuk Meneroka Kehidupan

Adalah penting untuk memperkenalkan bayi kepada pelbagai benda yang baru dan menarik untuk dilihat, dirasa, dipegang, disentuh dan bermain. Bawa bayi jalan-jalan di luar rumah supaya dia dapat pengalaman merasai pelbagai keadaan persekitaran.

Bagi dia sentuh air suam, air sejuk. Beri dia pegang permukaan lembut, licin, berbulu ataupun bubble wrap untuk direnyuk! Sediakan makanan yang pelbagai rasa dan warna untuk bayi anda bereksperiman. Dan yang paling penting mestilah perlu bersama-sama dengan anak untuk lakukan aktiviti-aktiviti itu bersama-sama.

4. Setiap Ahli Keluarga Memainkan Peranan Penting

Bayi boleh kenal suara dan wajah orang yang dia selalu dengar dan tengok. Oleh itu ahli keluarga terdekat jangan lupa selalu luangkan masa untuk beri perhatian, kasih sayang, dan penjagaan kepada bayi. Bayi sangat suka didampingi orang yang dia kenal dan rapat. Dia rasa sangat selesa, selamat dan disayangi. Ini membantu bayi membesar dengan optimum.

Bayi yang dipenuhi keperluan emosinya lebih berupaya untuk membesar sebagai anak yang berdikari, cerdik, matang dan baik daripada segi tingkah laku.

5. Sediakan Persekitaran Yang Selamat Dan Menyeronokkan Untuk Anak

Persekitaran, aktiviti, dan bahan permainan yang disediakan sepatutnya perlulah selamat dan bersesuaian dengan tahap perkembangan bayi. Ini penting supaya dapat memberi ruang dan peluang kepada anak untuk meneroka.

Ini juga dapat membantu dan menyokong anak melakukan perkara yang dia suka mengikut kemahiran. Dalam masa yang sama, boleh juga mencabar keupayaan bayi untuk lebih berusaha mencapai perkembangan yang seterusnya.

6. Penyusuan Susu Ibu Adalah Yang Terbaik Untuk Ibu Dan Bayi

Sekiranya berkemampuan dan ada rezeki, ibu disarankan untuk cuba memberikan susu ibu kepada bayi. Breastfeeding boleh memberikan special bonding moment antara bayi dan ibu. Ini kerana semasa menyusukan, anak akan dapat merasa sentuhan fizikal dan kehangatan badan ibu. Belaian dan dakapan adalah satu cara memberikan bayi rasa tenang, selesa, disayangi dan selamat.

Sumber: Blog mamawidad.com