Anak menangis sememangnya membuatkan hati ibu jadi risau. Buat itu tak kena buat ini tak kena. Kadang-kadang nak pujuk anak ambil masa. Bagi yang pernah mengalami situasi ini pasti faham kan.

Dalam situasi anak tidur dalam buai, ibu antara individu yang akan mengambil berat dalam hal ini. Jika tertinggal buaian semasa balik  kampung alamaknya memang jenuh nak tidurkan si kecil.  Tepuk tak kena, baring pun tak nak..last2 akibat meragam anak tu tidur sendiri.

Walaupun ramai yang tahu kesan buaian pada anak tidak elok, tapi teknologi sekarang  membantu meringankan beban ibu dengan adanya buaian elektrik.

Tidak dinafikan buaian ini dapat membantu dan memudahkan kerja si ibu. Tetapi tahu kah anda buaian jenis ini tidak sesuai digunakan oleh anak anda. Ramai pakar kesihatan dan pakar penjagaan bayi menyarankan supaya tidak menggunakan buaian bagi menidurkan anak anda.

Ini kerana ia mengundang pelbagai risiko seperti kecederaan kepala pada kanak-kanak akibat terjatuh dari buaian semasa mereka tidur, bermain atau menyusu. Selain itu,  antara risiko lain yang mungkin dihadapi oleh bayi yang menggunakan buaian elektrik adalah:

1. Bayi terjatuh atau dihempap spring/mesin
Kain yang digunakan untuk meletak bayi hanya disangkut pada sebatang besi penyangkut yang dihubungkan pada spring atau mesin automatik buaian. Bayangkan jika salah satu daripadanya rosak, bayi anda mungkin terjatuh atau dihempap oleh peralatan tersebut. Situasi mungkin bertambah buruk jika bayi terkena renjatan elektrik.

2. Tidak menyokong struktur tulang belakang bayi
Buaian secara saintifiknya tidak memberi sokongan penuh pada tulang belakang bayi. Jika anda perhatikan dengan teliti, bahu bayi selalunya kelihatan membongkok ketika di dalam buai.
 
3. Bayi lemas
Bagi bayi yang mula belajar memusingkan badan, mungkin memusingkan mukanya ke bawah sewaktu sedar ataupun dalam keadaan tidur. Ini boleh menyebabkan bayi lemas kerana kebanyakan bayi tidak pandai memusingkan kembali badan mereka.
 
4. Sindrom gegaran otak bayi
Enjutan buaian boleh mengakibatkan bayi anda mengalami sindrom gegaran otak kerana ubun-ubun bayi yang berusia kurang daripada 18 bulan masih lembut.

5. Menggoyang bayi dengan kuat
Enjutan perlahan mungkin tidak berbahaya pada bayi. Namun, dengan lantunan spring buaian (pergerakan atas bawah) seolah-olah sama perihalnya dengan melambung bayi anda ke udara. Ini juga mampu mengundang sindrom gegaran otak pada bayi.

Sumber: MW