Dianggarkan  8 daripada 10 wanita hamil mengalami mabuk dan separuh daripada mereka muntah-muntah, ramai wanita menghabiskan minggu-minggu pertama kehamilan dengan rasa tidak sihat dan tidaklah kelihatan ceria berseri-seri.

Wanita yang menghidapi mabuk hamil secara berterusan sering merasakan tiada siapa yang benar-benar memahami apa yang mereka sedang lalui. Tidak hairanlah, ini boleh membawa kepada kemurungan.

Dalam pada itu juga, ada segelintir wanita turut risau mengenai anak dalam kandungan disebabkan keadaannya yang mengalami situasi tersebut.

Sebenarnya, mabuk hamil tidak akan mengancam bayi anda selagi anda mampu untuk menyimpan dalam perut sebahagian daripada makanan yang dimakan, dan minum banyak cecair.

Rasa loya ialah tanda bahawa hormon kehamilan berada pada tahap yang cukup tinggi untuk meneruskan kehamilan. Wanita yang mengalami mabuk hamil didapati kurang berkemungkinan mengalami keguguran berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Tetapi ini bukanlah bermaksud bahawa jika anda tidak rasa loya, kehamilan anda tidak sihat.

Makan makanan seimbang jika anda boleh, tetapi jika anda berasa amat loya, makan apa saja yang anda mampu. Bayi anda boleh mengejar kembali ketinggalan nutriennya pada peringkat-peringkat lebih lewat dalam kehamilan apabila anda berasa lebih sihat.

Pilihan makanan anda mungkin ganjil untuk seketika. Mungkin selama sebulan anda hanya mampu menelan nasi putih dan air sahaja, tetapi cuba jangan bimbang tentang ini. Anda mempunyai banyak masa untuk makan secara sihat selepas mabuk hamil ini reda.

Hati anda menyimpan banyak nutrien yang bayi anda perlukan untuk membesar secara normal, jadi tidak kisahlah jika anda tidak banyak makan. Ikut pelan pemakanan yang dapat membantu anda mendapatkan nutrien yang anda perlukan sepanjang kehamilan.

Namun begitu, anda perlu mengambil asid folik kerana ia adalah nutrien yang penting dalam trimester pertama. Ambillah 400mcg asid folik sehari kerana ini akan membantu tulang belakang dan sistem saraf bayi berkembang dengan baik. Anda juga boleh mengambil multivitamin kehamilan. Salah satu kebaikan multivitamin ini ialah anda hanya perlu menelan satu tablet sahaja untuk mendapatkan nutrien yang badan anda perlukan. Ini sangat baik jika anda sering memuntahkan makanan yang ditelan.

Jika anda muntah banyak kali dalam sehari, tidak dapat makan dan minum tanpa muntah dan berat badan anda turun, anda boleh mengalami nyahhidrat. Oleh itu, penting bagi anda menghubungi doktor dengan segera. Ada banyak rawatan yang boleh dilakukan di rumah. Jika rawatan di rumah tidak berkesan, anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk mengawal mabuk hamil anda dan untuk meningkatkan pengambilan cecair dan nutrien melalui drip.

Sumber: www.babycenter.com.my