“Pada usia 2 tahun, anak saya suka sangat mengatakan NO, kenapa ya? Tanya seorang ibu muda. Dahlah suka kata NO, tak mahu disuap, dipakaikan baju semua nak buat sendiri. Jika tak beri siap lembikkan badan dan campak barang lagi. Pening saya dibuatnya,” luah seorang ibu.

Memandangkan anak sedang dalam proses pembelajaran, kita sebagai ibu bapa perlu sabar. Mendidik dengan bijak dan sabar sangat perlu. Susah sekejap sekarang supaya senang pada masa akan datang.

Bagi ibu bapa muda mungkin sikap anak ini menyebabkan kita mudah naik angin dan marah anak. Dek kerana sikap tidak sabar, anak kecil yang baharu hendak belajar sentiasa kena marah dan mereka jadi terbatas pergerakan.

Buat pengetahuan semua, usia anak 1.5 hingga 3 tahun ini adalah masa untuk anak-anak nak tegapkan keindividuaan mereka. Anak-anak nak beritahu dia ada hak ke atas dirinya. Dia boleh pilih, dia boleh buat sendiri dan sebagainya.

Jalan terbaik walaupun nampak agak susah, adalah izinkan dia buat sendiri dan pilih sendiri. Ini sebenarnya membentuk sikap kebertanggungjawaban dalam diri anak dan membesar menjadi anak yang lebih mudah berdikari. Cuma sebagai ibu bapa kita pantau selagi ia tidak memudaratkan diri anak.

Bila seorang anak itu ada rasa kebertanggungjawapan yang tinggi terhadap dirinya, inilah yang membolehkan dia berjaya bila dia besar nanti. Dia melakukan sesuatu bukan kerana terpaksa tetapi kerana mahu menunaikan tanggungjawab!

 

Sumber: iburose.com