Sebagai ibu bekerjaya, wanita yang bergelar ibu pasti  berat hati untuk meninggalkan anak buat pertama kalinya. Bagaimanapun dalam paksa rela ibu perlu juga memberi tanggungjawab tersebut kepada pengasuh dan taska. Apa yang diharapkan anak dapat menyesuaikan diri dan dijaga dengan baik.

Sebenarnya jika diikutkan perasaan itu adalah normal. Namun ibu harus melakukan beberapa persediaan agar si kecil yang ditinggalkan berasa tenang dan selesa serta tidak menangis setelah kita menyerahkan kepada pengasuh atau pihak taska.

Berikut antara tip yang boleh dicuba buat ibu yang pertama kali ingin menghantar anak kepada pengasuh atau taska:

1)Tinggalkan anak secara berkala

Jika sebelum ini anak sukar berenggang dengan anda, apa kata cuba tinggalkan dalam tempoh masa tertentu.. Contohnya tinggal dengan pengasuh buat seketika atau pihak taska yang sudah anda pilih. Nak mudah boleh tinggalkan dengan saudara terdekat.

Setidak-tidaknya anak tahu anak apabila anda tinggalkannya, anda akan datang semula ambil dia. Tak delah dia terkejut apabila anda meninggalkannya nanti.

2)Biasakan dengan persekitaran ramai

Cara ini sebenarnya baik untuk anak anda bersosial. Jika terlalu asyik berkurung di rumah dan kurang berjumpa dengan orang ramai pasti anak akan rasa takut dan bahasa mudahnya menangis. Biar dia bermain dengan rakan-rakan seusia.

Bagi anak yang sudah boleh diajak berbual, anda boleh berbual mengenai suasana di taska atau rumah pengasuh bagi menarik perhatiannya. Pendekatan ini akan membuatkan anak-anak terbuka fikiran.

3)Bawa barang kesayangan anak
Ibu perlu faham tak semestinya permainan anak yang mereka suka kita bagi bawanya semuanya. Nanti akan ada kes berebut pula. Apa kata ibu buat keputusan dahulu. Contoh bawa selimut kesayangan, satu sahaja barang permainan ataupun makanan kesukaan anak yang kita sediakan dirumah. Secara tidak langsung ia boleh membuatkan anak-anak mudah serasi dengan persekitaran di tempat baru.

4)Cekalkan hati

Ibu perlu kuat semangat. Ini yang biasa terjadi. Apabila anak menangis ibu jadi tak sampai hati nak tinggalkan. Hakikatnya anda sudah berjanji dengannya akan mengambil pada waktu tertentu.

Sekiranya anda berpatah balik apabila mendengar tangisan, anak akan mula keliru dan mereka ingat apabila menangis dengan kuat ibu akan datang semula. Ini akan menyulitkan lagi keadaan. Walaupun anda sedih sekalipun, cekalkan hati dan jangan terlalu emosional. Doakan yang terbaik untuk anak. InsyaAllah.

Sebagai ibu yang bekerjaya, anda perlu memberi masa kepada anak untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Biasanya dalam tempoh beberapa minggu. Jangan cepat nak marah setiap kali menghantar mereka pada waktu pagi kerana boleh membuatkan emosinya terkesan.

Namun demikian, jika dalam tempoh beberapa bulan dihantar ke pangasuh atau taska dan anda mula lihat perubahan pelik pada si anak seperti takut-takut dan ada kesan lebam di badan, sewajarnya anda mengambil tindakan cepat. Mungkin ada yang tidak kena sepanjang tempoh penjagaan. Jangan bersikap tunggu dan lihat sahaja kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal anak