Sebaik ada anak, tugas automatik yang wajib diketahui oleh papa dan mama adalah menukar lampin. Pertama kali melakukannya pasti anda akan kelam kabut. Mana hendak pujuk si kecil yang rancak menangis, mana hendak tahan bayi daripada terkencing semula dan mana hendak mengambil keperluannya.

Selain daripada berhadapan dengan masalah kelam kabut ketika menukar lampin bayi, pasti papa dan mama turut tertanya-tanya berapa kerap hendak menukar lampin anak dalam sehari?

Berikut adalah fakta mengapa anda perlu kerap menukar lampin si manja terutama yang baru lahir.

1. Seeloknya, tukar lampin anak secara kerap terutama ketika usia masih bayi. Ini kerana air kencing mereka mengandungi bakteria  dan boleh menyebabkan kulit menjadi merah dan seterusnya mengakibatkan ruam lampin.

2. Fahami rutin bayi membuang air kencing dan najis kerana ia memudahkan anda mengagak bilakah waktu paling sesuai untuk menukar lampin bayi. Biasanya sebaik bangun dari tidur, tukarlah lampin si kecil.

3. Biasanya bayi membuang air besar beberapa kali sehari pada awalnya dan kencing setiap satu hingga tiga jam.

4. Jangan lupa juga menukar lampin bayi sebelum mereka tidur untuk mengelakkan bayi terjaga ketika tidur kerana tidak selesa.

5. Teknologi pembuatan lampin pakai buang masa kini menyerap lembapan dengan baik, jadi anda mungkin tidak menyedari yang lampin bayi sudah basah lencun. Jadi jangan tunggu sehingga bayi menangis atau menunjukkan ketidakselesaan setiap kali lampinnya basah.

Untuk mengelakkan masalah ini, periksa sama ada lampin itu basah dua jam sekali dengan meraba-raba menggunakan jari anda yang bersih.

Semakin kerap berlatih semakin cekap kemahiran anda. Jangan risau, memang normal pada awalnya agak kelam kabut mengendalikan tugasan ini. Apatah lagi apabila si kecil menangis tanpa henti, lama-kelamaan anda juga kagum dengan kecekapan mengendalikan tugas menukar lampin bayi.

Untuk mengelakkan masalah kelam kabut ketika menukar, pastikan anda mempunyai semua keperluan berikut berhampiran anda :

*Ruang yang selamat

*Tisu basah atau air suam

*Lampin bersih

*Krim lampin

*Persalinan pakaian bersih

*Bekas membuang lampin kotor

Untuk mengelakkan bayi bergerak (terutama bayi yang sudah pandai meniarap), alihkan pandangannya dengan memberikan alat permainan supaya dia leka dan mudah untuk anda menyelesaikan tugas menukar lampin.