Niat di hati nak menyusukan bayi dengan susu ibu secara eksklusif. Wah! Itu memang satu niat yang bagus dan perlu disokong. Bukan mudah ya bagi ibu bekerjaya untuk meneruskan usaha memberi bayi susu ibu sepenuhnya selama dua tahun.

Tetapi jangan lupa belajar cara betul menyimpan susu ibu. Maklumlah ibu bekerja perlu konsisten pam susu ibu setiap dua jam di ofis. Penyimpanan susu ibu perahan (SIP) di tempat dan suhu yang betul penting supaya kualitinya kekal mengikut tempoh yang sesuai.

Sudah tentu ia perlu disimpan di tempat yang betul untuk mengelakkan daripada rosak dan basi sebelum sempat diberi kepada bayi. Jangan nanti penat sahaja anda mengepam susu di ofis tetapi terpaksa dibuang sebab basi dan rosak. Sayangnya!

1. Suhu bilik (25°C hingga 37°C)

Susu ibu perahan yang disimpan pada suhu ini hanya bertahan sehingga empat jam sahaja. Anda perlu memastikan keadaan persekitaran susu ibu perahan disimpan adalah bersih.

2. Bilik berhawa dingin (15°C hingga 25°C)

Susu ibu hanya boleh disimpan maksimum lapan jam sahaja di sini. Anda mestilah memastikan botol susu atau plastik yang digunakan disimpan dalam suhu yang sentiasa sejuk. Sebaiknya bungkus bekas penyimpanan susu ibu dengan tuala sejuk bagi mengekalkan ia sentiasa sejuk.

3. Peti sejuk suhu kurang daripada -4°C

Susu ibu yang disimpan dalam peti sejuk bersuhu ini bertahan optimum lapan hari di dalam keadaan yang sangat bersih. Simpan susu di bahagian paling belakang peti sejuk kerana suhunya lebih sejuk.

4. Peti ais suhu kurang daripada -4°C

Susu ibu perahan boleh tahan selama dua minggu jika disimpan dalam peti sejuk satu pintu dan tiga bulan dalam peti sejuk dua pintu.

Simpan susu ibu perahan pada suhu -18°C adalah selamat daripada pencemaran bakteria walaupun proses enzimatik yang terkandung di dalam makanan mungkin tidak boleh dihapuskan.

5. Peti sejuk beku (Deep freezer)

Susu ibu perahan boleh disimpan selama enam bulan dalam peti sejuk jenis ini. Anda cuma perlu memastikan suhu peti sejuk beku ini sentiasa kekal di bawah 20°C sepanjang masa.

Sekiranya anda melakukan proses menyahbeku peti ais, susu yang disimpan mampu bertahan sehingga 24 jam sahaja dan ia tidak boleh dibekukan semula. Jangan sesekalii memandang remeh tentang perkara ini jika anda benar-benar mahu memberikan yang terbaik kepada Si Manja.