Ramai ibu bapa rasa teruja untuk hanya memberikan makanan yang sihat sahaja kepada bayi yang baru belajar makan. Kebanyakan ibu akan membuat pilihan makanan yang selamat dan biasa untuk bayi mereka.

 

Antara pilihan makanan pertama yang popular adalah bijirin nasi putih. Namun menurut Pakar Pediatrik, Dr Altmann seperti dipetik dalam theasianparent.com, ada dua jenis makanan yang seharusnya dielakkan kepada bayi. Ia tentu boleh mengejutkan ramai ibu bapa kerana makanan tersebut sentiasa menjadi pilihan ramai. Berikut adalah dua jenis makanan yang perlu dielakkan.

 

1. Bijirin nasi putih

Menurut Dr Altmann, bijirin nasi putih adalah pilihan yang kurang tepat untuk makanan pertama bayi. Ia dikatakan tiada nutrien atau rasa selain boleh menjadikan punca tabiat pemakanan yang kurang sihat pada kanak-kanak. Walaupun makanan ini mengandungi dua khasiat penting iaitu zat besi dan zink, tetapi ia tidak sama seperti yang dibekalkan oleh daging.

 

Bagaimanapun bagi yang masih lagi percaya bijirin ini mesti menjadi makanan pertama anak mereka mempunyai alternatif untuk memilih nasi perang yang lebih berkhasiat berbanding nasi putih. Ia tabiat pemakanan yang bagus kerana memperkenalkan anak kepada pilihan makanan yang sihat sepanjang mereka membesar.

 

Tetapi anda perlu berhati-hati apabila memperkenalkan bayi dengan nasi perang kerana ia mampu menyebabkan masalah cirit-birit. Cara terbaik anda hendaklah memantau sistem penghadaman bayi terlebih dahulu sebelum menggabungkan pilihan makanan ini ke dalam diet mereka.

 

2. Jus buah-buahan

Jangan terkejut kerana jus buah-buahan sebenarnya tidak berkhasiat kepada si kecil! Jus terutama yang dibeli dalam kotak atau botol sama sekali tidak berkhasiat kerana telah dicampur dengan air dan gula. Pemberian minuman jus buah-buahan kepada bayi hanya akan menyebabkan pembentukan tabiat buruk si kecil yang akan ketagih pada minuman manis.

 

Untuk pengetahuan jus buah-buahan tidak mengandungi sebarang serat, maka ia sama sekali tidak boleh menjadi pengganti kepada buah-buahan segar yang sebenar. Sebaiknya bagi bayi minum air kosong apabila mereka mencapai usia 6 bulan.

 

Bagi ibu bapa yang akan mula memperkenalkan anak mereka makan makanan pejal, eloklah ambil perhatian tentang info ini jika mahukan si kecil mempunyai tabiat pemakanan yang baik di masa hadapan.