Budak-budak kalau nampak kotak, dia punya seronok dapat main objek tersebut macam jumpa alat permainan terhebat. Padahal sebuah kotak sahaja. Tak percaya anda cubalah bagi kotak pada si kecil.

Anda akan kagum menyaksikan kreativiti si kecil bereksplorasi dan berimaginasi menggunakan kotak sebagai alat pembelajaran secara realiti. Biarkan mereka sibuk bermain kotak kerana ada kelebihan yang positif pada perkembangan si manja.

Biasanya sejak usia bayi lagi mereka sudah pandai bermain kotak. Bayi sudah pandai merangkak, memang suka meneroka persekitarannya. Biarkan sahaja mereka meneroka tapi dalam masa yang sama ibu ayah perlu memantau mereka.

Selain daripada memberi mereka bermain alat permainan yang direka khusus mengikut usia bayi, anda juga boleh menggunakan bahan terbuang di rumah sebagai satu alat bantu merangsang kemahiran pembelajaran bayi.

Memang seronok kalau dapat bermain dengan si kecil. Melihatkan aksi terujanya dengan alat permainan cukup menyeronokkan. Jom buat permainan kotak yang membantu merangsang kemahiran bayi anda. Jimat dan murah! Paling penting anak gembira bermain.

Permainan kotak ini sesuai untuk bayi dan kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan.

Bahan yang diperlukan: Pelbagai bentuk dan saiz kotak. Jika boleh cari kotak yang ada penutup.

Bagaimana cara nak bermainnya?

a. Letakkan kotak kecil ke dalam kotak besar atau boleh juga letak sebarang objek mainan dalam kotak.

b. Kotak dengan penutup dapat memberikan mereka lebih cabaran untuk membuka dan menutupnya.

c. Anda juga boleh menyusun kotak menjadi 'bangunan' dan jatuhkan ia. Si kecil pasti ketawa seronok.

Sementara untuk anak yang sudah besar pula, biarkan mereka mengeksplorasi kotak sendiri dan menggunakan kreativiti mereka bermain kotak. Mereka akan menjadikan kotak sebagai rumah, kereta, bangunan dan sebagainya lagi. Pandai kan anak-anak kita berimaginasi!

Apa yang anak belajar?

1. Kemahiran motor halus.

2. Koordinasi tangan dan mata.

3. Bentuk dan saiz. Kebanyakan kotak berbentuk segi empat tepat, cuba cari bentuk kotak rectangular, bulat dan lain-lain lagi.

4. Warna. Ada pelbagai warna pada kotak tersebut.

5. Emosi. Kegembiraan, penyertaan dan keseronokan yang bayi perolehi ketika bermain.

6. Kemahiran motor kasar seperti meregangkan badan untuk menyusun kotak, bergerak sekeliling untuk mengutip kotak apabila ia terjatuh.

7. Bahasa. Interaksi yang berlaku antara ibu ayah dan bayi ketika bermain.

8. Kemahiran kognitif. Apa hendak buat dengan kotak? Buka kotak, tutup ia, bina kotak, ketuk kotak, susun kotak, masukkan objek dalam kotak dan sebagainya.

9. Graviti. Apa yang tinggi akan terjatuh!

10.  Pengekalan objek. Sembunyikan objek di bawah kotak. Tanyakan anak ke mana pergi objek tersebut.

Tip mudah

* Mudahkan aktiviti ini dengan bermain "apa di dalam kotak" atau dengan menyediakan tiga kotak berlainan yang boleh disusun antara satu sama lain. Kotak besar, sederhana dan kecil. Mulakan dengan kotak-kotak ini dulu sebelum anda menambah kotak lain dalam sesi bermain seterusnya.

* Ulang aktiviti ini sekerap mana yang anda suka kerana anak-anak perlukan pengulangan untuk menyatukan pemahaman dan pembelajaran mereka. Mereka akan mendapat wawasan baru setiap kali mereka mengulang aktiviti yang sama.

* Berbual dengan anak tentang apa yang anda sedang lakukan dengan mereka. Ini membantu mereka memahami proses fizikal dan mental yang sedang dilalui ketika bermain selain dariapda dapat membentuk tatabahasa. "Apa di dalam kotak?" "Apa akan jadi bila goncang kotak?" dan lain-lain perbualan.

* Bermain dengan bayi. Apabila mereka sudah dapat menguasai kemahiran bermain sendiri, anda boleh bagi peluang anak untuk melakukan sendiri. Tunjukkan bagaimana bermain dan menyusun kotak tersebut atau menutup kotak itu.

* Jangan biarkan anak bermain sendirian. Sentiasa awasi keselamatan mereka!