Keterujaan mama memperkenalkan makanan kepada bayi yang sudah mula makan makanan pejal kadang kala melebihi had yang sepatutnya. Semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran hendak diberikan kepada bayi dalam masa yang serentak.

Sebaiknya, ibu jangan terburu-buru memperkenalkan semua jenis makanan kepada bayi. Walaupun anak anda kelihatan berselera merasa makanan yang disuap tetapi ia bukan bermaksud anda boleh memberikan dia semua jenis makanan.

Pemberian makanan awal kepada bayi mesti disesuaikan dengan tahap usianya. Bayi usia enam hingga sembilan bulan yang baru diperkenalkan kepada makanan pejal sepatutnya diberi makan puri buah-buahan dan puri sayur-sayuran terlebih dahulu.

Apabila dia semakin menghampiri ulang tahun pertamanya, baharulah boleh diperkenalkan kepada makanan pejal yang bervariasi tetapi mesti yang bertekstur lembut.

Mengapa kita perlu memperkenalkan makanan mengikut tahap perkembangan bayi dan usianya?

1. Kerana mudah bagi kita untuk mengenal pasti sekiranya bayi mempunyai sebarang alahan terhadap makanan yang diberikan.

2. Mengikut peraturan pakar pemakanan, sebaiknya perkenalkan satu jenis buah dan sayuran dalam masa beberapa hari kepada bayi anda. Contohnya, ibu boleh memberikan pisang kepada bayi selama dua hari berturut-turut. Ini kerana alahan terhadap makanan hanya boleh dikesan selepas dua hingga tiga hari dia makan makanan tersebut.

3. Semakin meningkat usia bayi (12 bulan ke atas), ibu boleh mula memperkenalkan bubur nasi yang dicampur dengan sayur, daging, ayam atau ikan (dikisar).

4. Ibu juga boleh mula memperkenalkan makanan jejari seperti lobak merah, kacang buncis, brokoli yang direbus atau biskut bayi. Kelebihan pemberian makanan jejari iaitu boleh melatih kemahiran bayi memegang makanan dan merangsang pertumbuhan giginya.

Jangan obses ya ibu! Biarkan bayi menikmati pengalaman pemakanannya dengan bertenang.