Biasanya lepas ibu melahirkan bayi, mesti doktor dan jururawat akan pesan dan tulis dalam buku rekod untuk membawa bayi ke hospital atau klinik selepas semula. Ingat tak ibu?

Jangan ambil mudah perkara tersebut. Bayi baru lahir mesti dibawa berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan selepas dia berusia sebulan. Kenapa? Inilah sebab-sebabnya. Jadi, ibu jangan buat-buat lupa ya!

1. Melihat perkembangan bayi

Selepas sebulan dilahirkan, penting untuk doktor menilai semula perkembangan bayi anda. Biasanya doktor akan menilai cara bayi bertindak balas kepada rangsangan. Doktor juga akan memeriksa penglihatan bayi bagi memastikan ia sihat dan tiada tanda-tanda juling.

2. Pergerakan otot dan anggota badan

Doktor akan menanggalkan pakaian bayi supaya dapat memerhatikan tahap kenormalan ototnya dan cara bayi menggerakkan anggota badannya.

3. Kawalan kepala

Doktor akan memegang bayi ke atas, untuk memastikan bayi dapat mengangkat kepalanya, selaras dengan badannya. Dia kemudian memerhatikan bayi sambil mengangkatnya kembali ke kedudukan duduk. Bayi yang normal akan mempunyai kawalan ke atas otot lehernya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.560208.1473133756!/image/image.jpg

4. Refleks genggaman

Perasan tak yang seorang bayi baru lahir boleh menggenggam dan memegang dengan kuat jari yang diletakkan pada tapak tangannya? Selepas genap sebulan usianya, adalah normal untuk refleks ketika lahir itu hilang. Jadi, doktor perlu memeriksanya.

5. Lilitan kepala

Kepala bayi diukur untuk memeriksa pertumbuhan normalnya. Biasanya saiz normal bayi selepas sebulan adalah 38cm.

6. Degupan jantung

Doktor akan mendengar degupan jantung bayi anda. Kiraan 120 degupan seminit adalah normal untuk tahun pertama bayi.

7. Organ dalaman

Sentuhan rapi di sekeliling perut bayi membolehkan doktor bahawa organ seperti hati, perut dan limfa berkembang secara normal dan tidak ada bahagian yang terlalu besar atau dalam bentuk yang salah.

8. Pemeriksaan pinggul

Masih ada kemungkinan berlakunya masalah 'dislocation hips'. Oleh itu penting untuk doktor menguji tindakan kaki bayi.

9. Mengukur berat badan

Berat badan bayi sepatutnya akan bertambah selepas sebulan dilahirkan. Pertambahan berat badan yang normal bermakna bayi membesar dengan sihat. Carta berat badan bayi adalah rekod yang penting untuk memantau perkembangan kesihatan dan tumbesarannya pada pemeriksaan akan datang.

10. Suntikan imunisasi

Untuk memastikan bayi mendapat suntikan imunisasi berjadual seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu suntikan Hepatitis B dos kedua.

Perkembangan awal bayi perlu untuk dipantau. Pemeriksaan selepas sebulan lahir adalah titik awal mengesan sebarang ketidaknormalan bayi. Jika ada sebarang masalah, mudah untuk membuat tindakan selanjutnya.