Bermain dengan si manja memang menyeronokkan. Selain berseronok, dengan bermain bersama bayi kita dapat merangsang minda serta membina emosi gembira bayi. Bayi yang selalu berada dalam emosi gembira akan membentuk perkembangan dan personaliti yang positif.

Jom buat aktiviti santai dengan si manja anda.

1. Main permainan lembut

Permainan lembut sesuai untuk si kecil yang masih bayi. Permainan jenis ini selamat untuk bayi yang masih kecil. Permainan ini merangsang perkembangan motor halus dengan menyentuh dan menarik permainan ini.

2. Tepuk amai-amai

Ini sejenis permainan asas yang paling awal diperkenalkan kepada bayi. Bayi sememangnya suka kepada bunyi-bunyian yang menggembirakannya termasuk yang dihasilkan daripada tepukan tangan.

Ia bukan sekadar perbuatan biasa supaya anak rasa seronok dan terhibur, tetapi turut membantu perkembangan motor dan kognitif anak-anak.

3. Permainan bunyi

Terdapat banyak permainan yang mengeluarkan bunyi buat bayi. Pilihlah permainan yang bersaiz besar, berwarna dan mengeluarkan pelbagai bunyi. Kebiasaan permainan  ini boleh dipicit atau ditekan bagi mengeluarkan bunyi.

Juga pastikan ia lebih besar daripada mulut bayi untuk mengelakkan daripada tercekik. Ada juga buku yang dicipta mempunyai bunyi-bunyian dan warna-warni yang boleh menarik perhatian bayi. Ia membantu merangsang fokus mata anak anda.

4. Koordinasi lengan, kaki dan tangan

Apabila bayi sudah boleh melambai-lambai tangan dan menendang kakinya ia bermaksud sendi paha dan lututnya menjadi lebih lentur menyebabkan tendangannya menjadi lebih kuat.

Walaupun bayi anda belum boleh berjalan, jika anda mendirikannya dengan kaki terletak di lantai, dia akan menolak badannya turun dengan menggunakan kakinya. Malah cuba untuk menendang objek yang berada di hadapannya.

5. Ayun badan

Bermain dengan bayi kecil memberi simulasi kepada anggota badan dan minda mereka. Permainan ayun badan ini mampu memberi simulasi kepada bayi.

Permainan ini boleh dilakukan di rumah pada bila-bila masa tanpa memerlukan peralatan. Anda hanya perlu memegang bayi dengan kedua belah tangan dengan mengayun perlahan. Selepas beberapa gerakan, peluk bayi sambil cium dan nyatakan anda sayang kepadanya.

6. Berbual

Bercakaplah dengan bayi anda sekerap yang boleh dalam ayat yang mudah dan jelas. Tetapi jangan ikut bahasa bayi anda, jika ingin mengajarnya berkomunikasi. 

Dia mungkin tidak faham apa yang anda katakan, tetapi dia akan gembira melihat apa yang anda lakukannya kepadanya. Lihat dan tunjuk pada perkara-perkara yang anda perkatakan. Daripada usia bayi enam bulan, dia sudah boleh mengekori pandangan anda, dan akan tahu objek apakah yang sedang anda ceritakan.

Jadi tunggu apa lagi, rajin-rajinlah bermain dengan si manja.