"Eh, cepatnya anak ko dah berjalan. Anak aku berdiri pun malas lagi. Padahal diaorang ni sama umur kan," kata Mila.

"Ala jangan risaulah. Anak ko kan lelaki. Anak aku perempuan. Orang cakap kan budak perempuan memang cepat sikit jalan compare dengan budak lelaki."

Orang kata waktu kecil, anak perempuan lebih cepat belajar berbanding anak lelaki. Contohnya ketika bayi, anak perempuan lebih cepat ketawa, berjalan, bercakap, bebas lampin dan sebagainya lagi. Sebenarnya ia bukan sekadar mitos atau cakap-cakap orang tua sebaliknya

Ia telah dibuktikan melalui beberapa kajian tentang perilaku antara anak perempuan dan anak lelaki. Berikut adalah 6 perilaku yang ada pada bayi perempuan sahaja.

1. Kuat meniru

Perasan tak yang anak perempuan anda cukup hebat meniru perbuatan orang dewasa. Misalnya meniru gaya mama memasak, menguruskan anak patungnya seperti bayi dan banyak lagi.

Mengikut kajian anak perempuan sudah pandai meniru perbuatan orang lain pada usia tiga jam selepas dilahirkan! Bahkan bayi perempuan yang baru lahir lebih cepat meniru gerakan jari-jemari berbanding bayi lelaki.

2. Koordinasi tangan lebih cekap

Anak perempuan lebih cekap mahir dalam penggunaan motorik halus dibandingkan dengan anak lelaki. Bahkan kemahiran mereka akan berterusan hingga ke peringkat prasekolah. Mereka lebih cepat mahir memegang objek mainan sejak bayi, memegang sudu dan garfu, serta belajar menulis lebih cepat dan kemas.

3. Lebih cepat bercakap

Ramai ibu bapa yang mempunyai anak daripada kedua-dua jantina, akan perasan yang anak perempuan lebih cepat bercakap berbanding anak lelaki pada usia yang sama. Anak perempuan akan menggunakan gerakan isyarat seperti menunjuk atau melambaikan tangan (bye bye) lebih awal berbanding anak lelaki. Mereka juga lebih cepat faham apa yang anda katakan.

Biasanya bayi perempuan akan lebih cepat bercakap iaitu seawal usia 12 bulan dibandingkan anak lelaki pada usia 13 - 14 bulan. Kepetahan anak perempuan bercakap akan berterusan sehingga mereka kanak-kanak. Kadangkala percakapan mereka macam orang dewasa!

4. Cepat belajar 'toilet training'

Anak perempuan didapati lebih cepat belajar tidak memakai "pampers" berbanding anak lelaki. Menurut Alison Mack, penulis buku Toilet Learning, perbezaannya mungkin kerana ibu yang biasanya bertindak sebagai pelatih 'toilet training'. Mungkin ini sebabnya anak perempuan mempunyai kelebihan memerhati seseorang yang ada persamaan dengan dirinya. Jadi, dia lebih cepat faham dan belajar.

5. Pendengar yang baik

Kajian menunjukkan, anak perempuan lebih mudah tertarik terhadap bunyi daripada suara manusia, bahkan lebih suka bunyi ini berbanding bunyi-bunyi lain. Perhatikan tindak balas bayi perempuan apabila anda bercakap dengan mereka. Si comel nampak lebih tertarik melalui respon yang diberikan. Tak hairanlah bila semakin besar, anak perempuan boleh menjadi tempat ibu meluahkan perasaan dan berkongsi cerita berbanding anak lelaki.

6. Suka melihat muka orang

Oleh kerana anak perempuan cepat meniru perbuatan orang lain, maka tak hairanlah mereka suku memandang mata orang dan cepat tertarik pada muka seseorang terutama wanita. Sebab itulah kebanyakan bayi perempuan akan cepat menangis dan takut bila melihat muka orang lelaki tak dikenali. Jika dia ketakutan, bayi perempuan akan memandang ke arah ibunya dengan wajah tegang. Namun akan kelihatan biasa sahaja jika dia tidak berasa takut pada wajah seseorang yang dipandangnya.

Anak lelaki pula biasanya memerlukan masa yang lebih lama untuk menyedari perbezaan tersebut.

Apa pun sebagai ibu bapa kita tak perlulah asyik membandingkan perbezaan pencapaian antara anak perempuan dan anak lelaki. Masing-masing sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Mungkin memang sikap semula jadi yang Tuhan jadikan anak perempuan lebih cepat belajar banyak perkara ketika usia kecil. Tak hairanlah mereka lebih cepat matang berbanding anak lelaki. Namun, biasanya bila anak lelaki sudah 'start pick-up', dia akan lebih pantas belajar berbanding anak perempuan.