Selesema adalah penyakit biasa yang kerap menyerang manusia. Bayi yang masih kecil tak terkecuali boleh dijangkiti selesema. Tetapi bila si kecil yang kena, ia boleh menjadi teruk kerana mereka tidak tahu cara untuk mengeluarkan lendir mukus yang berada di dalam hidung.

Oleh itu, anda sebagai ibu bapa wajib mencegah bayi daripada dijangkiti selesema. Orang kata mencegah lebih baik daripada merawat sebab bukan senang hendak menyembuhkan bayi yang sudah terkena selesema.

1. Kerap beri susu ibu

Ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu mesti kerap memberi anak minum susu. Seperti diketahui susu ibu mengandungi antibodi daripada badan ibu sendiri yang dapat melindungi bayi daripada terkena jangkitan selesema.

2. Elak kerap keluar rumah

Sistem imun badan bayi masih belum kuat, jadi mereka berisiko terkena jangkitan selesema bila selalu di bawa keluar dari rumah. Sudah tentu udara di luar yang terdedah kepada pelbagai pencemaran, kekotoran, debu dan sebagainya menyebabkan bayi mudah kena jangkitan.

3. Jangan selalu bagi orang lain cium bayi

Mungkin ia kedengaran agak 'kasar' tetapi ini cara terbaik mengelakkan anak daripada dijangkiti selesema. Maklumlah kita tak tahu sama ada orang yang mencium anak itu sihat atau tidak.

Memang keadaan fizikal bayi yang comel akan menggeramkan orang lain untuk mencium dan menggomolnya. Tapi fikirkan tentang risiko kepada bayi yang mungkin terjangkit virus yang ada pada orang tersebut. Ingatlah bayi lebih sensitif dan mudah terjangkit.

4. Rajin bersihkan hidung bayi

Walaupun hidung bayi terlalu kecil dan sukar untuk dibersihkan tetapi anda perlu rajin membersihkannya supaya tak mudah dijangkiti selesema. Gunakan 'cotton buds' ataupun kapas kecil yang diletakkan minyak bayi organik. Bersihkan secara perlahan dan berhati-hati di sekitar hidung anak. Jangan sampai kotoran masuk ke dalam hidung. Selain mencegah selesema, rutin ini membantu melancarkan pernafasan yang akan membuatkan anak anda lena tidur.

5. Jaga kebersihan peralatan bayi

Jangan abaikan hal ini. Anda perlu kerap mensteril segala peralatan makan bayi seperti mangkuk, sudu, botol air dan sebagainya daripada menjadi tempat bakteria berkumpul. Walaupun bayi semakin besar dan sudah mula makan, tetapi mereka masih sangat sensitif terhadap persekitaran yang kotor.

6. Kerap ganti sarung bantal & selimut bayi

Ibu jangan malas untuk menukar sarung bantal, selimut dan cadar yang digunakan oleh bayi. Jangan sampai berbau masam dan bertahi lalat kerana ia hanya akan menyebabkan tempat berkumpulnya bakteria.

7. Banyak bagi sayur dan buah-buahan

Untuk bayi yang sudah berusia 6 bulan ke atas, banyak beri mereka makan sayur-sayuran dan buah-buahan supaya sistem antibodi mereka kuat untuk mencegah jangkitan virus. Sayur dan buah yang kaya dengan kandungan vitamin sangat bagus kepada tubuh bagi mengelakkan serangan pelbagai jenis jangkitan bakteria.

Mengamalkan cara mencegah bayi terkena selesema itu lebih penting kerana bayi yang sudah dijangkiti akan kerap meragam dan sukar dijaga.