Bergelar ibu memang membahagiakan. Melihat bayi comel tidur lena di pangkuan terasa diri sangat bertuah kerana diberi kesempatan bergelar ibu.

Namun bila bayi baru lahir anda tiba-tiba menangis tanpa henti memang kelam kabut jadinya. Apatah lagi kalau anda baru pertama kali bergelar ibu. Tiada pengalaman!

Tambah panik sekiranya si kecil menangis tanpa henti menjelang waktu Maghrib atau di malam hari. Puas bergilir dengan suami mendukung dan memujuk bayi namun tetap tak berhenti menangis. Ibu juga puas menyusukan bayi namun ditolak dengan tangisan. Bila diperiksa lampinnya, masih kering.

Apa sebab si manja menangis tidak berhenti? Bingung dan tidak keruan anda dibuatnya? Adakalaya si ibu turut sama menangis kerana bimbang anak mugkin mengalami kesakitan. Mesti ia pernah terjadi pada anda bukan?

Ayuh, semak apa yang membuatkan si manja anda menangis tanpa sebab nyata dan cara penyelesaian yang boleh dicuba bagi meredakan tangisannya.

Pa&Ma gariskan antara 8 sebab bayi menangis:

1. Mungkinkah bayi lapar?

Kemungkinan besar bayi menangis memang sebab lapar. Antara penyelesaian awal yang mesti dilakukan bila bayi menangis adalah menyusukannya. Tak kira sama ada menyusu terus daripada payudara atau menggunakan botol.

2. Tak selesa

Kadang kala lampin pakai buang juga menjadi punca bayi menangis. Periksa keadaan lampinnya. Barangkali terlalu ketat mencengkam hingga menyebabkan iritasi atau menimbulkan ketidakselesaan.

3. Mahu perhatian

Perut sudah kenyang, lampin juga sudah tukar tetapi bayi masih menangis. Sebenarnya ia salah satu cara si comel memberitahu yang dia mahu ibu mendukung atau menumpukan perhatian kepadanya. Bijak ya, si kecil alaf ini! Sel-sel otak sedang berhubung, nampaknya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.560581.1473218278!/image/image.jpg

4. Perut kembung

Bayi baru lahir mudah terkena masalah perut kembung. Jadi, dia akan menangis akibat tidak selesa dan sakit perut kerana kembung serta inginkan belaian urutan daripada ibu. Cuba urut perlahan badan bayi menggunakan minyak bayi serta sendawakan bayi anda. Mesti si kecil rasa selesa dan tenang, dan yang penting berhenti menangis.

5. Mengantuk!

Bila mengantuk bayi akan menangis. Si comel tidak tahu bagaimana hendak melelapkan matanya yang mengantuk. Rasa mengantuk berbakul-bakul! Cubalah belai bayi dengan penuh kasih sayang sambil mendodoikannya dengan zikir atau lagu 'nursery' untuk menenangkan si anak.

6. Mengalami gatal-gatal

Kulit bayi sangat sensitif. Adakalanya perkara remeh juga boleh membuatkan si kecil menangis. Misalnya dia merasa gatal-gatal di badan, barangkali tanda harga atau label pada baju yang dipakainya masih belum ditanggalkan, atau mungkin baju yang cukup sendat merimaskan bayi.

7.Tumbuh gigi

Ia berlaku dalam kalangan bayi yang sudah besar. Tumbuh gigi antara permasalahan paling merengsakan si kecil. Guna jari yang bersih untuk urutkan gusi yang gatal atau gunakan sahaja 'teether' yang telah disejukbekukan. Ia membantu memberi kelegaan kepada bayi yang asyik menangis dan merengek sahaja.

8. Tanpa sebab

Ada juga bayi yang menangis tanpa diketahui sebabnya selepas sudah mencuba semua penyelesaian di atas. Maka ibu dan ayah boleh berikhtiar dan bertawakal, dengan cara mengalunkan bacaan-bacaan doa atau ayat-ayat suci Al-Quran dan dihembuskan ke ubun-ubun bayi.

Cubalah solusi berikut tetapi sebelum itu kenal pasti simptom-simptom yang menyebabkan bayi menangis. InshaAllah suara tangisan bayi anda, jika tidak berhenti sepenuhnya, dapat diperlahankan larasnya.