Bila ada bayi memang seronok layan mereka. Boleh leka bila melihat keletah si manja. Sebenarnya tanpa anda sedar, aktiviti melayan bayi bermain boleh menjadi salah satu cara mudah merangsang mereka menjadi lebih bijak.

Tidak perlu alat permainan yang mahal dan waktu yang lama untuk merangsang deria dan pelbagai kemampuan bayi. Anda boleh melakukannya ketika bermain, bersiar-siar, menidurkan bayi, memandikannya, menyusu atau memberinya makan.

1. Selalu pandang mata dan wajah

* Kerap memandang mata anak semasa bercakap dengannya.

* Tunjukkan pelbagai ekspresi wajah anda.

* Anda juga boleh selalu menyuruh bayi melihat dirinya di dalam cermin.

2. Ajak bercakap dan ketawa

* Buat bermacam bunyi suara lucu untuk membuatkan anak ketawa.

* Menyanyi lagu-lagu kanak-kanak.

* Geletek bahagian badannya supaya dia ketawa dan seronok.

3. Bonding time

* Masa menyusukan bayi, tatap matanya sambil bercakap-cakap.

* Tutuk TV atau handphone dan habiskan masa dengan melayan anak bermain serta memeluknya puas-puas.

* Luangkan beberapa minit setiap hari hanya duduk di lantai dengan anak anda. Tiada sebarang mainan atau muzik dari TV ataupun handphone.

4. Aktiviti fizikal

* Susun bantal atau kusyen di ruang tamu dan ajak bayi lalu di kawasan tersebut.

* Buat aktiviti yang boleh diikukti oleh bayi seperti anda merangkak di ruang tamu dan anak mengikut dari belakang (sesuai untuk anak yang sudah pandai merangkak).

* Ikut kegemaran anak. Jika dia suka dengar muzik dan menari maka pasanglah lagu dan menari bersamanya.

5. Bersiar-siar

* Bawa bayi bersiar-siar di luar kawasan rumah seperti di taman dan biarkan dia menikmati pemandangan di sekeliling.

* Bawa bayi pergi ke restoran supaya dia boleh melihat orang lain menikmati makanan dan belajar banyak perkara dari situ.

6. Sentuh pelbagai objek dan tekstur

* Beri bayi sentuh pelbagai jenis tekstur kain seperti sutera, cotton, linen, wol dan pelbagai lagi. Gosok lembut di pipi, kaki dan perutnya sambil anda terangkan tentang jenis tekstur fabrik itu.

* Bila di luar rumah, biarkan tangan anak menyentuh dan memegang pelbagai objek di sekelilingnya seperti rumput, pokok, bunga, tanah tetapi pastikan keselamatannya.

* Jangan marah bila si kecil bermain dengan makanannya. Dia sedang belajar merasa bentuk dan rasa makanan itu.

7. Ajar bahasa dan mengira

* Selalu kira segala objek yang ada di sekelilingnya seperti ketika naik tangga atau menyusun biskut di mangkuknya.

* Selalu bacakan buku setiap hari, anda akan kagum dengan perkembangan bahasanya kelak.

8. Rutin bermain

* Meniup lembut di muka, lengan dan perutnya.

* Sembunyikan sebarang objek di tangan anda dan minta si comel mencarinya.

* Main 'ba ba chak' sebenarnya adalah mainan terbaik kerana selain membuatkan bayi ketawa, ia juga mengajarnya bahawa objek boleh menghilang dan ada kembali.

9. Membuat kenangan

* Tunjukkan gambar ahli keluarga dalam satu album dan beritahu siapa individu tersebut berserta namanya.

* Ketika keluar bersiar-siar di taman atau membawa anak ke zoo, ambil gambar haiwan-haiwan dan anda boleh kumpulkan dalam satu album dalam handphone anda. Kemudian ajak anak melihatnya semula sambil mengajar nama serta bunyi haiwan tersebut.

Aktiviti rutin yang selalu anda lakukan bersama bayi sebenarnya adalah cara terbaik membantunya belajar dan menjadi lebih pintar.