Bayi anda yang dulu hanya terbaring sahaja kini semakin bijak dan suka meneroka persekitarannya. Ia sememangnya perkembangan yang positif kerana ia merangsang mereka menjadi semakin pintar tetapi dalam masa sama ini membuatkan mereka berisiko terdedah kepada bahaya.

Bilakah masa yang sesuai untuk kita memberitahu bayi tentang bahaya yang ada di sekitar mereka terutama objek-objek yang mereka temui saban hari dalam rumah?

Bermula daripada usia bayi 18 bulan, dia seharusnya sudah boleh faham jika anda katakana “ketuhar itu panas” atau “pisau ini tajam”. Tetapi dengan pemahaman tersebut, tidaklah bererti dia akan menjauhkan diri daripada barangan itu.

Sebaliknya, sifat ingin tahu lebih menguasai dirinya. Mungkin ketika anda melarangnya bermain dengan pisau, dia seolah-olah faham tetapi tindakan daripadanya tidak seperti yang kita inginkan.

Tidak bermakna bayi anda akan menjauhkan diri daripada pisau selama-lamanya. Sebaliknya, mungkin beberapa minit selepas larangan tersebut, dia datang lagi ke tempat anda menyimpan pisau.

Jadi, untuk memastikan amaran yang diberi tersemat di dalam minda anak, anda perlu menyebut amaran tersebut berulang kali dan yang terbaik sehingga mereka mencecah usia tiga atau pun empat tahun.

Oleh kerana bayi anda belum tahu bagaimana untuk menjaga dirinya sendiri, pastikan rumah anda benar-benar selamat untuk anak. Ini langkah-langkah yang patut dilakukan.

1. Anda perlu memastikan semua peralatan di dapur yang tajam dan boleh mencederakan dirinya disimpan di dalam laci yang tidak boleh dicapai oleh anak.

2. Matikan semua suis barangan elektrik yang sudah digunakan dan cabut suisnya jika tidak digunakan lagi.

3. Sentiasa mengunci pintu pagar sepanjang masa.

4. Jangan biarkan objek kecil bersepah di merata-rata tempat kerana kecenderungan si kecil untuk memasukkan objek ke dalam mulut boleh menyebabkan mereka tercekik.

5. Jangan lupa menutup pintu bilik air setiap kali selepas menggunakannya. Si kecil berisiko untuk lemas dalam baldi berisi air atau terjatuh dalam bilik air yang lantainya basah jika pintu tidak ditutup betul. Bahkan ada banyak kes dilaporkan bayi meninggal dunia akibat lemas dalam baldi yang berisi air.

Si kecil sememangnya seronok meneroka persekitaran yang baru tanpa mengira bahaya ada di mana-mana. Utamakan keselamatan dalam apa jua aspek di mana-mana sahaja anda  berada.