Walaupun masih bayi tetapi si kecil sudah boleh bermain. Eh, betul ke? Bermain sebenarnya bukan sekadar untuk menghiburkan atau menggembirakan si kecil tetapi bermain membantu perkembangan mental dan fizikal anak.

 

Namun, yang paling penting pilih jenis permainan yang sesuai dengan usia bayi anda.

 

 

1. Objek yang mengeluarkan bunyi dan tergantung

 

Objek menari di atas kepala bayi sambil berbaring di katil mampu merangsang penglihatan dan membangunkan tahap tumpuan. Ditemani pula dengan alunan muzik yang lembut untuk tingkatkan perhatian mereka.

 

2. Permainan bercermin

 

Bayi akan terpesona dengan muka yang berubah-ubah apabila memandang diri sendiri ke cermin. Daripada masa ke masa, bayi akan menyedari bahawa itu semua adalah pantulan imej mereka sendiri. Bayi mula belajar tentang penemuan baru seperti belajar tentang bahagian anggota badan mereka menerusi cermin.

 

3. Gelung dan kon

 

Ini adalah sejenis permainan klasik. Kon dan gelung besar berwarna-warni dengan saiz berbeza mampu merangsang pelbagai kemahiran si kecil. Pada peringkat awal, bayi akan memasukkan gelung ke dalam mulut mereka untuk merasa objek tersebut. Tetapi dalam masa yang sama ia membantu mereka membangunkan kemahiran motor halus dengan meletakkan gelung ke dalam koon. Melalui permainan ini bayi boleh belajar tentang warna dan nombor.

 

4. Permainan tolak tarik

 

Permainan ini dapat membantu  anak anda dengan keseimbangan dan perkembangan otot si kecil. Semakin bayi menolak dan menarik, semakin baik dia membina otot untuk belajar berjalan dan berlari.

 

5. Buku bacaan

 

Anda boleh memperkenalkan beberapa buku bacaan bergambar yang berwarna-warni. Walaupun bayi belum memahami tetapi dia dapat melihat dan mendengar apa yang sedang anda buat. Ini juga membantu mendedahkan anak kepada pelbagai jenis warna selain memahami bentuk yang berbeza dan memupuk sikap suka membaca sejak dari kecil.

 

Sebenarnya ada pelbagai lagi jenis permainan yang boleh juga membantu merangsang kemahiran motorik anak dan kecerdasan mindanya. Anda boleh menjadi kreatif dengan cara sendiri untuk memastikan si kecil bermain dan dalam masa yang sama belajar sesuatu.