"Eh, pandainya anak mama nak pusing badan. Dah nak meniarap ke? Cepatnya dia membesar"

Perasan tak tingkah laku bayi anda yang masih kecil tetapi sudah bijak hendak cuba memusingkan badannya. Ketika usianya baru masuk tiga bulan, ada bayi yang mula berusaha untuk belajar meniarap. Hebatnya kuasa Allah kerana seorang bayi yang normal itu dengan sendirinya mempunyai keinginan untuk belajar kemahiran dirinya.

Meniarap adalah perkembangan kognitif awal seorang bayi selepas dia cukup kuat untuk mengawal pergerakan kepalanya. Selain atas usaha sendiri, papa dan mama juga boleh membantu bayi untuk mahir meniarap.

Anda boleh tolong meniarapkan bayi di atas perutnya, bayi mungkin boleh menaikkan kepala dan bahunya menggunakan lengan. Tekan tubi mini ini membantu bayi menguatkan otot-otot yang diperlukan untuk bergolek. Si kecil akan memusing dari posisi baring meniarap kepada terlentang.

Ada sesetengah bayi akan rasa teruja dengan kebolehan barunya. Jadi anda boleh melatihnya dengan meletakkan dia dalam posisi meniarap untuk satu atau dua minit pada satu-satu masa.

Tetapi ada juga bayi yang akan menangis bila meniarap, jangan paksa bayi anda. Cuba duduk di lantai bersama-samanya dan tunjukkan mainan kegemaran bayi jauh daripadanya. Cuba tarik perhatian si manja dengan menunjuk-nunjukkan mainan tersebut. Dia pasti merasa geram dan cuba untuk meniarap.

Fahami dengan betul penerangan daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang perkembangan meniarap seorang bayi.

BILA BAYI MULA MENIARAP?

Kebolehan untuk bayi meniarap bergantung kepada kebolehan seorang individu. Ada bayi yang boleh meniarap seawal usia tiga bulan.

Tetapi kebanyakan bayi mengambil masa yang lebih lama kerana untuk meniarap ia memerlukan kekuatan otot leher dan lengan.

Tanpa kekuatan otot ini agak sukar untuk bayi kita memusing tubuhnya dari posisi terlentang kepada posisi meniarap. Ini hanya boleh dilakukan apabila mereka mencapai usia lima atau enam bulan.

MENIARAP ADALAH DETIK PENTING DALAM PERKEMBANGAN BAYI

Salah satu tanda bayi kita menjalani perkembangan fizikal yang mengikut umurnya, ialah apabila bayi kita mampu untuk meniarap.

Meniarap adalah waktu peralihan di mana seorang bayi telah dapat mengawal pergerakan kepala dan sejurus sebelum mempelajari kaedah duduk tanpa bantuan, kebanyakan bayi belajar cara meniarap. Bayi yang sudah mahir meniarap boleh memusing dari posisi terlentang, kemudian ke posisi meniarap semula, seolah-olah berguling-guling.

Ini juga merupakan salah satu cara yang membolehkan bayi kita bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Ia selalunya didorong oleh keinginan untuk mencapai satu mainan yang berada di luar jangkauan, atau hanya untuk mendekati ibubapanya.

Sumber: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad