Antara perkara paling leceh sekali dirasakan oleh kebanyakan ibu bapa adalah memberi bayi minum ubat demam. Kalau boleh memang nak elak bagi mereka ubat demam. Bayangkan situasi memberi bayi berusia 10 bulan ke atas minum ubat. Memang boleh huru-hara satu rumah dibuatnya. Tapi kalau bayi anda jenis diam dan tak meronta-ronta semasa diberikan ubat, anda sememangnya sangat bertuah.

 

Selain daripada itu para ibu bapa juga gemar menyimpan lebihan ubat demam di dalam peti ais (yang tidak habis diminum bayi kerana sudah sembuh). Ia akan diberi semula kepada bayi apabila si kecil mungkin diserang demam dalam tempoh masa lebih daripada sebulan. Untuk pengetahuan anda, ia sama sekali tindakan yang salah!

 

Baca info penting yang dikongsikan oleh pengamal perubatan ini dalam facebook beliau. Bagus sebagai panduan para ibu bapa yang ada  bayi.

 

JIKA BAYI ANDA DEMAM

 

Ada sesetengah ibu-bapa yang punyai bayi berumur 10-12 bulan alami sedikit masalah dalam memberikan ubat demam.

 

Sering kali ubat demam tersebut disembur keluar semula oleh bayi dan ibu-bapa tidak tahu berapa banyak pula hendak ditambah bagi ubat yang keluar dan tidak ditelan oleh anak mereka. Bagaimana atasi masalah ini?

 

Ramai ibu-bapa berpendapat jika bagi dengan jumlah isipadu ubat yang sedikit boleh atasi masalah ini kerana bayi mudah telan jumlah isipadu yang kecil.

 

Suka diingatkan dos kanak-kanak adalah mengikut berat badan mereka. Ubat demam yang biasa digunakan adalah Paracetamol. Bagi dos Paracetamol untuk kanak-kanak, ia diberikan mengikut ukuran 15mg/kg (15mg Paracetamol bagi setiap kilogram berat badan bayi) dan diberikan setiap 6jam.

 

Mungkin ramai yang tidak perasan dalam pasaran, ubat Sirap Paracetamol ada dua jenis kepekatan iaitu

 

1. Paracetamol 120mg/5ml

 

2. Paracetamol 250mg/5ml

 

Maka ibu-bapa boleh membuat pilihan.

 

Ubat Paracetamol 120mg/5ml memerlukan jumlah isipadu ubat yang lebih besar berbanding ubat Paracetamol 250mg/5ml untuk dos yang sama.

 

Maka dengan ini masalah awal tadi dapat diatasi. Kaedah perkiraan ditunjukkan mengikut gambar. Oleh itu ibu-bapa perlu berhati-hati kerana terdapat dua jenis kepekatan ubat Paracetamol dalam pasaran. Baca label terlebih dahulu.

 

Kesilapan boleh berlaku sama ada terbagi kurang dos atau terlebih dos. Elakkan mengambil semua dos pada kebiasaannya. Baca label dan buat perkiraan untuk mendapatkan kepastian jumlah dos dan isipadu ubat Sirap Paracetamol yang diperlukan.

 

Untuk pemberian ubat sirap kepada bayi menggunakan picagari elakkan daripada terus pancut ke dalam mulut bayi ke bahagian tekaknya. Kaedah ini salah dan boleh menyebabkan bayi tersedak dan keluarkan semula ubat.

 

Cara yang lebih baik adalah untuk pancutkan ubat pada bahagian pipi bayi. Cara ini tidak menyebabkan bayi tersedak.

 

Berapa lama boleh simpan ubat?

 

Ramai juga yang bertanya berapa lama boleh simpan ubat Sirap Paracetamol ini selepas dibuka? Kebanyakkan ubat-ubat sirap dibotolkan dalam botol 60ml. Jika setiap dos memerlukan 5ml ubat maka jumlah isipadu untuk 1 hari (setiap 6jam) adalah 20ml. Oleh itu ubat paracetamol dalam 60ml botol ini cuma untuk 3 hari sahaja.

 

Mungkin hari kedua anak telah baik demam. Maka ada lebihan 20ml lagi. Boleh jika mahu disimpan, namun dinasihatkan cuma untuk jangka masa sebulan sahaja.

 

Elakkan daripada menyimpan ubat berlebihan di dalam peti sejuk kerana apabila botol ubat dikeluarkan daripada peti sejuk kepada suhu bilik, titisan kecil cecair akan terbentuk. Dengan kehadiran titisan halus cecair ini membolehkan bakteria membiak dan merosakkan ubat.

 

Ubat dalam bentuk sirap kebanyakkan hanya perlu disimpan pada suhu bilik sahaja iaitu 25-30°C. Baca label pada botol ubat untuk mendapatkan kepastian berkaitan suhu simpanan.

 

Elok juga sekiranya sebelum memberi baki ubat dalam bentuk sirap yang disimpan lihat dan nilai dahulu bentuk fizikalnya seperti :

 

○ Berlaku perubahan warna atau tidak?

○ Berlaku perubahan kelikatan cecair ubat

○ Mengeluarkan bau seperti telah rosak

 

Sekiranya ada perubahan warna atau bertambah likat atau kandungan ubat terpisah membentuk dua lapisan walaupun digoncang namun tidak bercampur atau sudah ada bau yang busuk maka mungkin baki ubat dalam simpanan itu telah rosak.

 

Elakkan menggunakan ubat dalam bentuk sirap yang telah rosak atau disimpan melebihi sebulan setelah ia dibuka.

 

-----------------------------------------------

Informasi tambahan berkaitan demam

 

~Suhu badan normal : 36°c - 37.4°c

~Demam ringan: 37.5°c - 38.4°c

~Demam biasa: 38.4°c – 39.9°c

~Demam tinggi: 40°c - 41.4°c

 

*Jika bagi ubat menggunakan syringe,

Pastikan dihalakan kebahagian pipi bayi agar tak tersedak....

 

Sumber FB Azam Rauzan