Bayi terutama yang baru lahir selalu muntah. Mereka umpama tak dapat dipisahkan. Selalunya ibu-ibu yang pertama kali ada anak akan rasa risau tengok bayi mereka asyik muntah sahaja walaupun sudah disendawakan lepas menyusu.

Untuk pengetahuan ibu-ibu, muntah bukanlah perkara yang luar biasa kepada bayi. Sejak lahir lagi bayi biasa muntah. Puncanya kerana bayi baru lahir ada terlalu banyak udara dalam perut, terlalu kenyang, bayi mengalami batuk dan selesema, mungkin sakit hernia atau berlaku penyempitan usus.

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, sebab utama muntah di kalangan bayi adalah kerana fenomena "gastro-esophageal reflux" yang disebabkan ketidakmatangan otot yang berada di antara perut dengan saluran pemakanan.

Otot tersebut sepatutnya berfungsi untuk menghalang susu yang ditelan keluar dari perut kembali ke saluran pemakanan (esofagus). Tetapi kerana ia tidak matang, maka otot itu tidak mengecut ketat sehingga tidak menutup rapat saluran perut, dan menyebabkan ada ruang yang membolehkan susu masuk semula ke dalam esofagus. Keadaan inilah yang menyebabkan bayi mengalami muntah.

Sekiranya bayi anda kerap muntah, ini cara untuk menanganinya:

1. Bersihkan muntah di sekitar mulutnya dengan segara supaya ia tidak masuk ke saluran pernafasan.

2. Jangan beri sebarang minuman (jika umur 6 bulan ke atas) sehingga bayi betul-betul bertenang.

3. Sendawakan bayi selepas menyusu.

4. Baringkan bayi dalam kedudukan menegak selama 30 minit hingga sejam selepas menyusu.

5. Elakkan menyusukan atau memberi bayi minum susu dalam kedudukan berbaring.

Kalau bayi anda mengalami muntah berterusan lebih dari sepuluh kali sehari, jangan tunggu lama, terus bawa dia jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.