"Doktor, baby saya ni asyik menangis je. Bagi susu tak nak. Saya risau la."

"Oo dalam mulut dia ada ulser. Sebab tu dia tak nak menyusu," beritahu doktor selepas memeriksa mulut si kecil.

Adakah anda pernah berhadapan dengan situsi bayi menangis dan meragam serta menolak pemberian susu ibu atau formula?

Bila diperiksa, rupanya dalam mulut si manja ada ulser. Bukan orang dewasa sahaja yang boleh terkena ulser tapi si kecil pun tak terkecuali. Mengapa mereka boleh terkena ulser?

1. Jangkitan virus

Ulser mulut terjadi disebabkan jangkitan virus seperti herpes, cacar air dan penyakit kaki tangan dan mulut. Rasa pedih muncul dalam masa 24 hingga 48 jam dan bertahan hingga tiga ke empat hari.

Punca lain yang menyebabkan ulser menurut Jurnal of Multidisciplinary Engineering Science Studies (JMESS), ulser juga boleh disebabkan Candida Albicans. Ini kerana beberapa jenis penyakit iaitu stres atau ubat-ubatan yang mengganggu kestabilan.

2. Trauma dalam mulut

Bayi mungkin tergigit lidah atau bahagian bibirnya hingga luka tanpa disengajakan. Sekiranya daya imun bayi dalam keadaan kurang baik, maka kuman akan cepat masuk dan mengalami jangkitan.

3. Alergi makanan

Kemungkinan bayi mengalami alergi terhadap sesuatu makanan, termakan atau terminum makanan dan minuman agak panas sehingga menyebabkan luka pada mulut dan menimbulkan ulser.

4. Kurang vitamin

Kekurangan vitamin juga menjadi salah satu punca berlakukan ulser. Kekurangan zink, folat dan vitamin B12 menyebabkan seseorang bayi mudah mengalami ulser.

5. Faktor keturunan

Ada bayi yang memang lahir dalam keluarga yang selalu dijangkiti ulser. Jadi tak hairanlah ia meningkatkan risiko si kecil turut mudah terkena ulser mulut.

Jika bayi anda menangis lebih kerap berbanding biasa, asyik merengek, enggan menyusu, minum air atau makan, cuba periksa bahagian mulutnya. Bayi yang terkena masalah ulser mulut akan kerap menangis dan meragam daripada biasa. Ini kerana dia merasa sakit di bahagian mulut dan sukar untuknya menyusu. Ini membuatkan perutnya lapar, dahaga dan dalam masa yang sama sakit.

Bayi juga kemungkinan akan mengalami panas badan kerana suhu badannya meningkat akibat jangkitan pada mulutnya. Air liur bayi juga akan keluar lebih banyak daripada biasa kerana dia kurang makan dan minum sehingga mulut menjadi kering dan berbau.

Cara merawat

Biasanya ulser mulut yang berwarna kelabu atau kuning dengan garisan tepi yang kemerah-merahan bersaiz kurang daripada 1 sm akan sembuh dengan cepat dalam tempoh masa satu atau dua minggu tanpa rawatan. Untuk membantu anak mengurangkan kesakitannya anda boleh melakukan beberapa perkara iaitu:

* Biarkan anak menghisap ais untuk mengurangkan kesakitan.

* Sentiasa menjaga kebersihan puting botol susu anak.

* Beri anak makanan yang lembut dan sejuk seperti yogurt, aiskrim vanila atau  puding susu.

* Pastikan si kecil minum banyak air masak.

* Sapu gel mulut (yang diberi oleh doktor) untuk mengurangkan kesakitan.

Sekiranya dalam tempoh dua minggu, ulser bayi anda masih tidak sembuh, berlaku pendarahan dalam mulut, demam serta cirit-birit dan anak tetap menolak makan dan minum susu, bawalah dia berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana kemungkinan ia petanda dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut atau virus herpes