"Anak aku dah seminggu tak buang air besar. Risau betul. Aku stress betul memikirkan hal ni" tanya Nadia yang baru tiga minggu melahirkan bayi kepada kawannya.

Ramai ibu yang baru mendapat cahayamata akan berasa risau dan tertekan sekiranya bayi mereka tidak buang air besar setiap hari. Sebelum anda risau yang kemungkinan bayi mengalami sembelit atau ada masalah penyakit lain, ketahui dulu beberapa fakta berikut.

Masalah sembelit adalah salah satu gangguan yang kerap dialami oleh bayi.

1. Bayi mengalami sembelit jika tidak buang air besar secara teratur, najisnya keras dan susah keluar sehingga memaksa bayi meneran dan ini menyebabkan dia menangis kerana sakit.

2. Bayi di bawah usia setahun kerap mengalami gangguan pencernaan kerana sistem penghadamannya belum matang.

3. Menurut Dr.Tanya Remer Attmann, dokter kanak-kanak dan penulis buku “The Wonder Years: Helping Your Baby and Young Child Successfully Negotiate the Major Developmental Milestones”, bayi yang diberi susu ibu eksklusif, normal bila buang air besar setiap kali selesai disusukan selama minggu-minggu pertama. Pola buang air besar ini masih lagi normal sehingga bayi berusia setahun.

4. Ada juga bayi yang minum susu ibu secara eksklusif tidak buang air besar sampai 7-10 hari. Ini berlaku kerana perkembangan enzim laktase bayi yang belum sempurna.

5. Ada bayi yang berusia 3-4 minggu sudah tidak lagi buang air besar setiap kali selesai menyusu. Keadaan ini juga normal!

6. Bayi yang tidak minum susu ibu secara eksklusif mudah mengalami sembelit kerana mungkin disebabkan pengambilan susu formula yang berlebihan.

7. Bayi yang sudah makan makanan pejal mungkin akan meneran ketika buang air besar dan frekuensinya juga berkurangan, biasa tiga kali sehari sampai jadi tiga hari sekali.

8. Kemungkinan bayi yang sudah makan makanan pejal kurang makan makanan berserat menyebabkan dia mudah sembelit.

9. Bayi juga mudah sembelit apabila kurang mengambil cecair. Ia biasa terjadi pada bayi yang mula diberi susu formula dan makanan pejal.

10.Bayi yang dalam masa peralihan dari susu ibu ke makanan pejal pertama atau susu formula juga cenderung mengalami masalah sembelit.

Sebaiknya perhatikan bentuk dan konsistensi najis bayi anda. Jika frekuensi bayi membuang air besar berkurangan namun bentuk najisnya lembut, maka ia tidak perlu dibimbangkan. Tetapi jika najisnya keras, bahkan sampai ada tompokan darah kerana berlaku peradangan anus, maka ini menunjukkan bayi anda sembelit!

Anda boleh bantu bayi untuk membuang air besar lebih lancar dengan cara mengurut perlahan bahaian perut bayi mengikut arah jam. Jika bayi sudah makan makanan pejal, berikan cecair yang cukup dan makanan yang kaya serat seperti buah betik atau avokado yang dilenyek.

Jika sembelit berlaku sepanjang menyusukan bayi dengan susu ibu secara eksklusif, ibu perlu meningkatkan pengambilan air masak dan makanan kaya serat supaya bayi cepat menyerap protein yang anda makan. Apa pun sebaiknya rujuk terlebih dahulu dengan doktor untuk penerangan dan perawatan lanjut bagi masalah bayi sembelit.