Ramai ibu yang ada anak kecil akan bersetuju yang 'wet tissue' atau tisu basah adalah barang wajib ada sepanjang masa dalam beg tangan dan di rumah. Ia  bagaikan penyelamat di waktu kecemasan terutama bila nak tukar lampin bayi, bila si kecil makan comot di luar rumah, tangan anak melekit akibat terpegang benda kotor dan macam-macam lagi kegunaannya.

Tetapi tahukah anda, satu kajian saintifik mendedahkan yang anda mungkin membahayakan si kecil apabila terlalu kerap menggunakannya!

Mungkin lepas mengetahui fakta tersebut, ramai ibu bapa yang perlu berfikir banyak untuk menggunakan alat bantu kegemaran ini.

Manakala anda mungkin beranggapan tidak boleh hidup tanpanya, penting untuk anda tahu bahawa penggunaan tisu basah yang kerap boleh menyebabkan risiko kesihatan yang teruk kepada anak anda.

Pendedahan kajian

Mary Wu Chang, Profesor Madya Dermatologi dan Pediatrik di Pusat Pengajian Perubatan, University of Connecticut menjalankan kajian utama mendedahkan bahaya yang tersembunyi dalam penggunaan harian tisu basah.

Dalam penyelidikannya, dia mendapati beberapa jenis ruam (dan lain-lain tindak balas) pada kanak-kanak bukan disebabkan oleh alahan - tetapi ia disebabkan oleh tisu basah.

Menurut Dr.Wu Chang, bahan pengawet biasa ditemui sebagai punca di sebalik masalah kesihatan disebabkan oleh tisu basah.

Dalam satu laporan oleh CBS News, Dr.Wu Chang mendapati preservativemethylisothiazolinone (MI) patut dipersalahkan.  

MI biasa digunakan dalam pelbagai produk penjagaan peribadi, kosmetik dan produk rumah. Produk seperti syampu, sabun dan cat rumah biasa mengandungi MI.

Kajiannya mendapati bahawa kebanyakan tisu basah juga mengandungi bahan ini bersama satu lagi pengawet yang dikenali sebagai methylchloroisothiazolinone atau MCI.

Sepanjang masa, penyelidik mendapati gabungan MI dan MCI jelas sebagai satu penyebab tindak balas alahan kulit.

Institusi kesihatan kemudiannya mengarahkan syarikat pengeluar tisu basah untuk berhenti menggabungkan kedua bahan pengawet ini untuk mengurangkan risiko.

Hasilnya, pengeluar kini hanya menggunakan satu bahan pengawet sahaja  kerana dipercayai kurang menyebabkan tindak balas alergi.

Bagaimanapun, beberapa kanak-kanak telah didiagnosis dengan alahan MI sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Adakah saya patut berhenti menggunakan tisu basah?

Jika anda tak boleh membayangkan mempunyai anak kecil tanpa tisu basah, maka beri perhatian pada bahan yang digunakan dalam membuat tisu basah jenama kegemaran anda.

Pilih tisu basah yang mengandungi bahan pengawet minimum dan ambil serius pada tindak balas kulit bayi anda terhadap tisu basah yang digunakan.

Sebagai alternatif, cuba guna bahan pengganti lain jika boleh, mungkin kertas tisu yang dibasahkan boleh juga berkesan seperti tisu basah untuk beberapa situasi. Atau apa kata buat sendiri tisu basah untuk kegunaan si manja anda.

Tonton video ini untuk mengetahui cara membuat sendiri tisu basah.

Sumber: familyshare.com