Si manja sudah mencecah usia 10 bulan. Kalau dahulu, dia berisi dan tembam, kini semakin susut. Ramai yang bertanya "Awak bagi anak awak makan cukup tak?". Jangan bimbang,  asalkan si manja aktif, sihat dan menunjukkan perkembangan berdasarkan usianya, ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah. Fahami 6 sebab kenapa si manja kehilangan erat badannya.

 

1. Semakin aktif

Dia semakin aktif dan menyebabkan kadar metabolisme meningkat. Ditambah dengan masalah cerewet makan, beratnya akan menurun. Perhatikan sekiranya dia kelihatan mengah dan penat semasa berjalan atau merangkak. Dia mungkin perlukan lebih banyak tenaga. Rujuk pakar pediatrik untuk mendapatkan kepastian.

 

2. Kecacingan

Masalah cacing menjadi penyebab sistem penghadaman si manja tidak efektif untuk menyerap zat makanan yang dimakan. Anda perlu memantau pengambilan dos ubat cacing setiap enam bulan sekali bagi bayi berusia 12 bulan ke atas.

 

3. Keturunan

Keturunan keluarga yang memiliki badan yang kecil akan meningkatkan kemungkinan si manja cenderung untuk mempunyai bentuk badan yang sama.                     

 

4. Waktu makan

Jarak masa antara waktu makan juga memainkan peranan. Jarak masa yang lama akan menyebabkan tenaganya tidak stabil sehingga dia perlu menggunakan lemak dalam tubuh untuk ditukarkan kepada tenaga. Hal ini akan menyebabkan penurunan berat badan. Waktu makan yang sesuai ialah setiap tiga hingga empat jam dengan pemberian snek antara waktu makan utama.

 

5. Banyak ambil cecair

Pemberian makanan dalam bentuk cecair seperti susu ibu, jus atau air kosong dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan si manja menjadi kenyang dan tidak mengambil makanan pejal dalam jumlah yang sepatutnya. Ini juga faktor penyumbang kepada penurunan berat badan si manja.