Ibu ayahlah yang wajar memperkenalkan Al-Quran kepada anak. Sejuk perut bila melihat anak kecil sudah mula membaca Al-Quran. Apatahnya menjadi penghafaznya. Tidak perlu tunggu lama, boleh mulakan usaha daripada bayi lagi!

Menurut Lina Karim dari Islamic Parenting Network, yang juga mempunyai dua orang anak yang menghafaz Al-Quran, ada tiga langkah yang boleh dilakukan sejak bayi di alam rahim lagi.

MULAKAN DARI DALAM KANDUNGAN
Ia boleh dimulakan ketika bayi masih dalam kandungan. Ketika bayi masih janin telinganya sudah pun terbentuk dan mampu berfungsi pada umur lima bulan. Dia sudah boleh menangkap bunyi-bunyian dari luar rahim. Oleh sebab itu, hidangkanlah alunan bunyi-bunyian yang indah seperti bacaan Al-Quran daripada audio atau mp3. Walaupun yang terbaik adalah memperdengarkan suara ibu atau bapa itu sendiri atau sekurang-kurangnya alunan Al-Quran daripada audio. Ini adalah usaha yang paling sedikit tetapi mempunyai impak yang besar di kemudian hari.

IBU BAPA PERLU MENGAJAR
Mana ada guru khas yang boleh mengajar anak Al-Quran ketika mereka berusia enam bulan dan tentunya guru pertamanya adalah ibu bapa sendiri. Guru mengaji selalunya akan menerima kanak-kanak mengaji pada umur lima hingga enam. Jika kita menunggu guru, kita akan mensia-siakan masa “emas” anak. Maka, ibu dan bapa sahajalah yang mengajar mereka ketika bayi.

MAINKAN BERULANG KALI
Bayi belajar dengan mendengar sesuatu secara berulang. Jika 30 juzuk dimainkan, kita susah bertemu dengan titik ulangan kerana sangat panjang. Beliau menyarankan untuk memainkan beberapa surah sahaja. Contohnya surah-surah penting seperti Al-Fatihah, Surah Luqman, Surah Yassin, Surah Sajadah, Surah Mulk, dan Al Kahfi ( 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir)”.

MANFAATNYA AL-QURAN KEPADA ANAK
Setiap surah ada manfaatnya. Contohnya surah Al Kahfi (10 ayat awal dan 10 ayat terakhir) adalah supaya kelak bila anak itu lahir mudah untuk dia menghafal dan mengamalkannya. Ia adalah perlindungan yang dijanjikan Allah daripada Dajjal. Ramai ibu bapa mengeluh yang mereka menjaga anak mereka sebaik mungkin semasa kecil tetapi bila sudah masuk alam persekolahan dan mula bergaul, seolah-olah kuasa kita mengawal dan melindung mereka sudah berkurangan. Hanya dengan pertolongan Allah sahaja anak kita akan terlindung dari segala anasir yang tidak baik ketika di luar. Kita perlu akui hakikat kehidupan, walau bagaimana sayang pun pada anak, kita tidak boleh melindung mereka 24 jam. Berbaliklah pada Allah dengan janjinya.