"Kenapa baby asyik menangis je, pampers dah tukar, susu dan bagi, tidur pun sudah tapi tetap menangis," keluh Ayu yang baru tiga minggu bergelar ibu.

Ia adalah situasi biasa bagi mak-mak yang baru dapat baby. Orang kata kena periksa tiga perkara asas iaitu lampin basah, bagi susu dan tidur kalau bayi menangis tetapi kalau semuanya sudah diberi masih menangis apa sebenarnya bayi hendak?

Sebelum ibu rasa panik dan takut dengan situasi bayi asyik menangis, fahami dahulu yang menangis adalah satu cara bayi berkomunikasi. Selain memberitahu keperluan dan ketidakselesaannya, bayi baru lahir sebenarnya inginkan satu sentuhan dan belaian daripada papa dan mama.

Menurut Dr.Wiyarni Pambudi, pakar kanak-kanak yang juga konsultan penyusuan, hubungan kulit ke kulit antara ibu dan bayi adalah cara terbaik membuatkan bayi rasa tenang, hangat dan selesa. Masih ingatkah lagi, sebaik sahaja mama melahirkan bayi, doktor atau jururawat terus meletakkan bayi di atas dada menyuruh ibu memeluk anak antara kulit ke kulit?

Selain sebagai sesi perkenalan pertama dengan ibu, sentuhan pertama kulit ke kulit juga membantu menjayakan proses penyusuan selain menyalurkan emosi kasih sayang antara keduanya. Sentuhan dan belaian terhadap si manja bukan berhenti setakat itu sahaja, ia mesti diteruskan sampai bila-bila. Anda pasti tidak mahu si manja kesayangan terlepas daripada mendapat faedah berpanjangan terhadap perkembangannya jika menjadikan sentuhan dan belaian kasih sayang sebagai salah satu cara anda meluahkan kasih sayang.

* Menghilangkan perasaan negatif si kecil seperti ketakutan, kemarahan atau kesedihan. Tak kira sama ada mereka masih bayi atau sudah besar, anak memerlukan tindak balas emosional dari ibu bapanya ketika sedang melalui fasa emosi tersebut.

Dengan cara membelai, mengurut dan menyentuh bayi termasuk menyusukannya dari payudara juga termasuk sebagai sentuhan, anda boleh menghilangkan perasaan sedih dan takut bayi.

* Jika anak tidak diberikan sentuhan dan tindak balas terhadap perasaan-perasaannya, otak mereka tidak akan berkembang sesuai dengan peringkatnya. Bila besar nanti, anak akan sukar mengurus paras kemarahannya apabila dia dalam situasi yang tertekan.

* Anak yang lebih banyak diberikan sentuhan kasih sayang akan mudah merasa tenang, selesa dan mudah diurus. Dia juga akan merasakan ikatan yang kuat dengan ibu bapanya. Jadi, apabila semakin besar

mudah baginya untuk menguruskan perasaan marah dan bijak mengawal kemarahannya. Selain itu jika ada masalah, si anak akan mendapatkan ibu bapanya terutama ibu sebgai rujukan utama.

Dengan kerap menyentuh dan membelai si manja, dia akan mudah tenang dan tertidur lena bahkan ikatan antara anda juga semakin kuat. Ingatlah yang bayi menangis tak semestinya sebab lampinnya basah atau hendak susu sahaja!

Sumber: family.fimela.com