Jarang nampak bayi baru lahir sampai umur tiga bulan dibiarkan tanpa bersarung tangan. Sarung tangan bayi menjadi barang wajib pakai dan mesti ada bagi yang baru bersalin. Kalau tak pakai macam tak lengkap dan bukan bayi baru lahir pula.

 

Alasannya sebab ibu bimbang bayi akan mencederakan mukanya sendiri dengan kuku yang panjang. Penjagaan tradisional sejak turun temurun ini memang tak ada siapa yang berani membantah. Tetapi zaman sekarang yang serba moden dan pelbagai kajian dilakukan oleh pakar mendapati sarung tangan sebenarnya tak perlu dipakaikan terlalu lama kepada bayi baru lahir.

 

Penjelasan daripada doktor pakar pediatrik dari Hospital Asia Colombia ini, mungkin akan mengubah pandangan kaum ibu selama ini terhadap pemakaian sarung tangan pada bayi baru lahir.

Pemakaian sarung tangan sebenarnya boleh mempengaruhi perkembangan si anak. Ini antara sebabnya.

 

1. Tangan bayi sentiasa menggenggam

 

Perasan tak bila sesekali anda membuka sarung tangan bayi mesti keadaan tangannya sentiasa menggenggam sahaja kan? Jika kita menanggalkan sarung tangan seawal yang boleh, tangan anak akan menyentuh segala yang ada berdekatan dengannya. Secara tidak langsung sentuhan itu akan merangsang otak bayi.

 

2. Bayi tak akan meneroka dunia sekelilingnya

 

Kalau tangan bayi sentiasa berada dalam sarung tangan dan terus menggenggam tangannya, dia tidak akan dapat meneroka apa yang ada di sekelilingnya dan otaknya juga tidak akan terangsang.

 

Kita yang bergelar ibu sudah diajar oleh orang tua-tua supaya sentiasa memakaikan bayi sarung tangan supaya tidak tercakar mukanya sendiri, tangan anak tidak sejuk atau terkena sawan daki di celah-celah jari bayi.

 

Sebenarnya dengan tidak memakaikan bayi anda sarung tangan, ia menjadi pelajaran pertama baginya. Memang awalnya anak akan berisiko tercakar mukanya sendiri dan akan menyebabkan luka sedikit, tetapi selepas itu dia belajar kalau terkena kuku, akan rasa sakit. Jadi si kecil akan berhenti mencakar muka dan mula menggosok muka menggunakan belakang tapak tangan.

 

Untuk mengelakkan bayi daripada mencakar mukanya sendiri, ibu mestilah rajin memotong kuku bayi supaya ia sentiasa pendek. Kebanyakan ibu tak pernah memotong kuku bayi mereka dengan alasan takut kerana kuku anak terlalu halus dan nipis.

Bahkan alasan sawan daki di celah jari bayi juga dapat dielakkan daripada berlaku apabila tidak dipakaikan sarung tangan.

 

Sebaiknya ibu boleh mula menanggalkan dan menghentikan pemakaian sarung tangan seawal bayi berusia sebulan supaya dia dapat mula belajar banyak perkara menggunakan tangannya.

 

Misalnya, bayi yang minum susu menggunakan botol, boleh mula diajar memegang botol sendiri (dengan pantauan ibu) sementara yang menyusu susu ibu, boleh diajar menyentuh kulit ibu dan proses ini dinamakan bonding.

 

Banyak kelebihan yang akan diperoleh oleh bayi anda bila dia mula meneroka dunia sekeliling menggunakan jari tangannya termasuk perkembangan skil motor, kinestetik dan segala kemahiran menggunakan tangan.

 

Jadi, kenapa perlu halang jari jemari anak kita dan tangannya daripada meneroka segala yang ada di sekelilingnya jika ia baik untuk perkembangan mereka?

 

Tak perlu membazir duit membeli banyak sarung tangan bayi anda. Biarkan jari mereka meneroka dunia ini.

 

Sumber: Facebook Nor Farahdilah Furmon