Foto: Daily Mail

"Berapa berat baby masa lahir?"

"4.5 kg."

"Mak aiii besarnya baby kau! Tak sakit ke masa nak keluarkan?"

Berat bayi yang melebihi 4.5 kg dianggap sebagai bayi bersaiz besar berbanding purata saiz bayi normal iaitu sekitar 3.5 kg. Bagaimana boleh ditentukan sama ada bayi itu bersaiz besar atau tidak?

Sebenarnya hanya setelah dilahirkan, barulah berat badan sebenar seorang bayi dapat ditentukan. Biarpun begitu, doktor berupaya untuk mengagak kandungan anda berkemungkinan besar dengan menjalankan ujian ultrasound.

Kajian menunjukkan bahawa lima hingga 10 peratus kandungan didapati bersaiz besar setelah ujian berkenaan dilakukan. Terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca kepada masalah bayi besar. Salah satunya ialah faktor genetik iaitu jika anda dilahirkan sebagai bayi bersaiz besar, maka bayi yang dikandung juga berisiko untuk bersaiz besar.

Tahap gula dalam darah yang tidak dikawal dengan baik seperti ibu menghidap diabetes sedia ada atau ketika hamil juga menyumbang kepada kelahiran bayi bersaiz besar.

Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko bayi besar dipercayai berpunca daripada etnik di mana wanita yang berdarah Sepanyol lebih berisiko tinggi. Antara faktor lain termasuklah obesiti, indeks jisim badan (BMI) yang tinggi di awal kehamilan, kenaikan berat badan yang terlalu banyak ketika hamil dan terlebih hari daripada tarikh jangkaan bersalin.

Jantina bayi turut memainkan peranan menentukan saiz bayi. Mengandung bayi lelaki dikatakan lebih berisiko tinggi untuk bersaiz besar berbanding bayi perempuan.

Risiko bayi besar

Ibu yang bakal melahirkan bayi bersaiz besar mempunyai beberapa risiko yang bakal timbul.

1. Salah satunya ialah kesukaran ketika proses kelahiran. Ibu mungkin berisiko tinggi untuk menghadapi komplikasi seperti perineum koyak ataupun kehilangan banyak darah.

2. Kesukaran kelahiran boleh menyebabkan kecederaan semasa lahir termasuklah pendarahan di bawah kulit kepala, patah tulang dan lemah atau lumpuh anggota tangan iaitu Erb’s Palsy yang berkait rapat dengan kecederaan saraf flexus berhampiran dengan bahu.

3. Terdapat juga risiko kecil bayi seperti shoulder dystocia sewaktu lahir di mana bahunya tersangkut di tulang pubik ibu. Hal ini jarang berlaku namun tetap serius dan memerlukan perhatian serta-merta bagi mengelakkan kecederaan teruk ataupun kematian bayi.

4. Bayi bersaiz besar juga membuatkan ibu berkemungkinan bersalin secara pembedahan caesarean. Biasanya apabila doktor mengesan ibu hamil bayi bersaiz besar, dia akan menyarankan kelahiran secara pembedahan dilakukan agar dapat mengelakkan komplikasi yang mungkin boleh meragut nyawa bayi dan ibu sendiri.

Alternatif selain pembedahan caesarean, doktor akan menyarankan pilihan ubat cetusan kontaraksi (induce) lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin.

Ibu lahirkan bayi besar lahir secara normal!

Bagaimanapun tidak mustahil ibu boleh melahirkan bayinya yang bersaiz besar secara normal seperti yang berlaku kepada seorang wanita di Melbourne, Australia.

Natashia Corrigan telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 6.07kg secara normal tanpa suntikan epidural di Hospital Mercy, Januari lalu lapor Daily Mail.

Sememangnya impiannya untuk mendapat bayi yang 'besar' berjaya direalisasikan. Brian Liddle Jr. yang dilahirkan pada 24 Januari adalah anak ketiga Corrigan, sebelum ini kedua anak perempuannya juga mempunyai saiz yang besar bagi seorang bayi.