Anak suka makan makanan ringan.. Adakah disebabkan kesilapan ibu bapa sendiri yang mendedahkan kepada makanan ringan sejak awal atau pengaruh iklan. Apa sahaja alasan yang diberikan, sebagai orang tua kita harus tahu apa yang perlu dibuat untuk memastikan anak ‘membenci’ makanan tidak sihat itu. Mungkin bagi sesetengah orang, bercakap memang mudah tapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan. Namun tak mustahil ia boleh dibuat jika ibu bapa bertekad mahu memberi makanan sihat kepada anak.

Ada beberapa langkah yang boleh diikuti bagi memastikan anak anda TAK NAK kepada makanan tersebut.

1)Di rumah memang tiada langsung makanan ringan atau makanan segera. Kalau boleh biar anak didedahkan dengan makanan seperti buah-buahan atau boleh buat snek sihat melalui sayuran. Barulah anak akan memahami kenapa mereka tidak boleh makan jajan.

2)Didik anak sejak dari kecil dengan mengatakan jajan tidak baik untuk otak. Anda boleh katakan banyak lagi makanan lain yang berkhasiat. Cara pujukan sebegini jika diungkapkan sepanjang masa akan membuatkan anak faham dengan sendiri.

Anda boleh katakan “Kalau abang suka makan kismis nanti ibu akan beli lagi banyak. Sebab nak jadi pandai tak boleh makan jajan."

3)Untuk nak menjamin anak itu makan makanan sihat, apa salahnya ibu memasak untuk di bawa bekal ke sekolah atau rumah pengasuh. Walaupun mungkin orang luar menganggap kita terlalu teliti dalam hal ini abaikan je. Kalau diamalkan cara ini, mungkin pengasuh atau kawan anak di sekolah akan dapat tahu kelebihan menikmati makanan sihat. Ini dianggaap satu pembelajaran tidak langsung.

4)Elak bawa anak ke kedai kerana ini mungkin akan membuatkan tumpuannya tertumpu ke arah jajan yang dijual. Lumrah kehidupan anak-anak pun pasti akan rasa tergugat dan ingin mencuba sesuatu yang baharu. Sebagai ibu bapa elakkan juga membeli dan makan di hadapan anak-anak. Contoh macam mi segera. Nak jadi ibu bapa hebat kita kena tunjuk contoh yang baik.

5)Mungkin dalam kalangan ibu bapa menganggap apabila terlalu sangat mengongkong anak makan makanan tidak berkhasiat, lama kelamaan dah tak tahu nak masak apa lagi. Tak kan nak hadap menu sama setiap hari. Di sinilah peranan ibu untuk mempelbagaikan resepi dan cuba beli buku atau lihat perkongsian orang lain untuk mendapat idea.

6)Akhir sekali untuk memberi peringatan pada anak, tunjuk kepada mereka kesan makan jajan sehingga menyebabkan penyakit kronik. Masa ini otak anak mudah terima apa yang kita perkatakan dan mudah untuk di

didik.

Kesimpulannya apa yang kita lakukan ini adalah untuk memastikan anak mendapat hasil yang terbaik. Demi anak apa sahaja yang elok, tidak salah kita mencubanya.