Pepatah ada mengatakan jika hendak melentur buluh biar dari rebungnya. Jelaslah jika kita mahukan anak yang patuh dengan peraturan, biasakan anak dibesarkan dalam suasana berdisiplin mengikut peraturan dalam rumah.

Perlukah peraturan diaplikasikan dalam rumah? Jawapannya bergantung kepada apa matlamat anda terhadap anak-anak. Jika anda memang mahukan anak-anak yang terdidik dengan disiplin maka garis panduan peraturan yang mudah membolehkan matlamat dicapai.

Kanak-kanak sememangnya terkenal dengan sikap aktif dan tidak boleh duduk diam. Ia sebenarnya perkara yang baik untuk tumbesaran mereka yang aktif dan cerdas. Namun demikian jangan sampai keaktifan mereka mencetuskan kedegilan dan kenakalan yang sukar dibendung sehingga sukar di bawa ke tempat lain.

Kadang kala kita sendiri berasa muak melihat gelagat sesetengah kanak-kanak yang terlalu nakal di rumah orang atau di tempat awam. Maka itu pentingnya mencegah anak anda daripada berkelakuan nakal sehingga menimbulkan rasa marah orang lain.

Mengapa pentingnya disiplinkan anak? Inilah sebabnya yang anda mesti tahu.

1. Anak lebih berkeyakinan tinggi.

2. Anak mudah dibawa ke majlis.

3. Anak mudah mengikut arahan di rumah atau di sekolah.

4. Anak lebih bersifat penyayang kepada adik beradik  lain.

5. Anak tahu menghormati orang yang lebih tua,

Sekiranya anda memiliki anak yang berusia di bawah enam tahun,  janganlah terlalu sibuk memikirkan dekorasi kediaman yang dipenuhi dengan barang-barang perhiasan mudah pecah, berbahaya dan mahal.

Letakkan barang-barang perhiasan tersebut jauh daripada jangkauan anak-anak demi mengelakkan mereka  mudah mencapainya. Sememangnya lumrah kanak-kanak usia tersebut untuk meneroka dan mempelajari pelbagai perkara di sekitarnya. Oleh kerana rumah adalah tempat paling banyak diteroka maka biarkan dia meneroka dengan selesa tanpa larangan.

Ini kerana jika terlalu banyak objek berharga di persekitaran rumah, tentu sahaja anda akan banyak berkata ‘jangan’ dalam setiap pergerakan anak. Sudah tentu ia membantutkan proses pembelajaran si kecil bahkan tanpa disedari mencambahkan benih kenakalan dalam diri mereka.