Rumah tangga mana yang tidak diuji dengan dugaan. Kecil atau besar dugaan yang dihadapi, suami dan isteri perlu bersama-sama teguh melaluinya. Bukankah doa kita setiap hari agar diberikan kepanjangan jodoh dengan pasangan dan bahagia hingga ke jannah?

Sebagai manusia yang tidak sempurna tentu sahaja ada masa kita mempunyai perasaan marah dan tidak berpuas hati terhadap pasangan sehingga mudah melampiaskan kemarahan kepada pasangan dan anak-anak? 

Kita memang mudah rasa marah, tidak puas hati dan bersangka buruk terhadap orang lain. Inilah perkara-perkara negatif yang sering membelenggu hidup. Dalam rumah tangga, kalau suami balik lewat, isteri mesti marah-marah.

Memikirkan yang bukan-bukan. Beranggapan mungkin suami ada perempuan lain di luar sana. Bagi suami pula, kalau nampak isteri bersiap cantik-cantik ke pejabat, dalam hatinya mesti terdetik, lelaki manalah dia nak mengurat di pejabat? Akibatnya, masing-masing timbul rasa tidak puas hati.

Kalau sudah ada prasangka, pantang ditanya sikit, mesti nak melenting. Masing-masing mulalah tunjuk ‘belang’. Marah tak pasal-pasal. Silap-silap anak-anak yang langsung tak ada kena mengena terkena tempiasnya.

Masing-masing hendak menang. Langsung tidak mahu mengalah. Semua ini kerana percaya diri betul. Bayangkanlah jika hal ini berlarutan, porak-perandalah rumah tangga. Jadi, sedarlah cepat sebelum terlambat.

Peliharalah rumah tangga yang sudah dibina sebaiknya agar berbahagia anda di dalamnya dan kata-kata rumah ku syurga ku menjadi kenyataan. Selain berprasangka, ada di kalangan kita yang terlalu berpegang kepada prinsip diri. Misalnya, prinsip tidak mahu mengalah. Inilah yang banyak berlaku dalam rumah tangga.

Suami selalunya susah hendak minta maaf atau mengalah pada isteri semata-mata berpegang kepada prinsip lelaki tidak boleh tunduk pada wanita. Keegoan mereka mudah tercabar terutamanya apabila berhadapan dengan wanita yang bergelar isteri kerana sepatutnya isteri taat kepada suami.

Isteri pula tidak kurang hebatnya kalau bertengkar. Katanya, dia pun ada prinsip. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Tidak kira walaupun yang salah itu suami merangkap ketua keluarga yang sepatutnya dihormati.

Ya, tidak salah menegur, tetapi kenalah pada tempat dan caranya. Jangan sampai ada yang tersentuh. Disebabkan berpegang kepada prinsip masing-masing inilah, suami isteri sering tidak sehaluan.

Jadi, bersatulah. Kembalilah kepada fitrah. Sedangkan Allah SWT bersedia mengampunkan hambanya walau seluas lautan dosanya, ini pula kita yang kerdil ini.

Ramai orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi, pengalaman ini jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai kejayaan. Pengalaman buruk seperti pernah dikecewakan oleh suami pada masa lalu membuatkan kita langsung tidak percaya padanya walaupun hakikatnya dia sudah berubah.

Inilah yang perlu kita sedar. Bebaskan diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif. Bantulah dia untuk berubah dan terus meninggalkan tabiat lama. 

Ketahuilah bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika anda tidak berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud sebarang masalah, berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. 

7 sifat mulia dalam rumah tangga

1. Jujur

Sama ada anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat penting. Elakkan diri daripada berprasangka buruk terhadap pasangan. Buang jauh-jauh sifat negatif itu dari diri. Apabila hati sudah bersih, anda pasti akan lebih sayang dan cinta padanya.

2. Bertanggungjawab

Kedua-dua pihak mesti tahu tanggungjawab masing-masing setelah diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, tentu tidak akan berlaku pertelingkahan.

Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggungjawab memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula, mereka bertanggungjawab mengikut segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama.

3. Berwawasan

Semua pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan matlamat atau arah tuju keluarga. Matlamat mestilah sama agar perjalanan hidup lebih terarah. Masing-masing perlu sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam dunia ini dan tahu kepada siapa kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih diberkati dan diredai.

4. Disiplin

Untuk memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga haruslah berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.

5. Bekerjasama

Apa yang penting kerjasama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan bersama-sama, mesti akan jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung.

6. Adil

Tidak kira suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil dengan semua orang agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlulah memahami tentang konsep adil dan melaksanakannya. 

7. Prihatin

Rajin-rajinlah mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Selalu bertanya apa yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada yang tidak kena, perbetulkan segera. Hal ini penting bagi mengelakkan ahli keluarga anda tersasar jauh dari landasan sepatutnya yang telah ditetapkan oleh anda.

Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.

Isteri pula bertanggungjawab untuk taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.