Ibu hamil yang pertama kali hendak bersalin cukup takut apabila melihat atau mendengar bagaimana proses kelahiran berlaku.

Proses meneran bayi hanya boleh dilakukan apabila pembukaan mulut rahim sudah sempurna iaitu 10sm.

Jika tiada pengalaman melaluinya, memang sukar hendak menggambarkan bagaimana proses tersebut berlaku. Tetapi dengan bertanya pengalaman orang lain dan membaca pelbagai info sekurang-kurangnya membantu para ibu melalui proses kelahiran bayi dengan mudah. 

Berikut adalah panduan memudahkan kelahiran.

1. Urutan Perineal

Urutan yang dilakukan di bahagian perineum amat digalakkan kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu anda memudahkan proses pelahiran yang bakal dilalui dan mengurangkan risiko koyak semasa meneran.

Anda digalakkan untuk memulakan urutan ini iaitu di antara bahagian dubur dan faraj bermula daripada minggu ke-34 kehamilan sehinggalah ke saat mahu melahirkan.

Sebelum melakukan rutin urutan, pastikan jari anda benar-benar bersih. Urutan ini boleh dilakukan dengan menggunakan minyak tertentu yang berasaskan sumber bahan semula jadi. Antaranya minyak kelapa dara, minyak zaitun dan lain-lain.

Dalam pada itu, elakkan penggunaan minyak bayi ataupun jeli petroleum. Namun, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

2. Senaman Kegel

Senaman ini baik untuk menjadikan otot vagina lebih anjal. Dengan yang demikian, otot berkenaan boleh mengembang dengan lebih baik apabila tiba proses kelahiran.

Senaman ini juga bagus untuk kekuatan otot rahim. Menariknya, senaman ini boleh dilakukan di mana sahaja tanpa perlu ada orang lain mengetahuinya.

Antara teknik senaman Kegel yang boleh anda lakukan ialah menahan air kencing separuh jalan dan kira sampai 10 dan kemudian dilepaskan bakinya.

3. Teknik Pernafasan

Di minggu-minggu terakhir kehamilan, anda sangat digalakkan untuk melakukan senaman secara tetap seperti berjalan-jalan selama 30 minit selepas makan malam sambil berlatih melakukan teknik pernafasan yang bakal anda aplikasikan ketika dalam proses pelahiran.

Ketahuilah, teknik pernafasan amat penting untuk wdikuasai kerana ia dapat membantu ketika anda menahan sakit dan sewaktu proses meneran.

4. Tidur Cukup

Sudah menjadi kelaziman bagi wanita hamil mengalami kesukaran untuk tidur di minggu-minggu akhir kehamilan. Biarpun begitu, anda dinasihatkan untuk memastikan jumlah jam tidur adalah mencukupi.

Hal ini sangat penting untuk memastikan anda kekal bertenang & bertenaga semasa melahirkan nanti.

5. Keadaan Selesa

Ketenangan fikiran dan kemantapan mental serta emosi sangat penting. Proses kelahiran akan berlangsung dengan lancar sekiranya anda berada di dalam keadaan selesa.

Apatah lagi, keadaan yang tergopoh-gapah akan menyebabkan proses kelahiran memakan masa yang lama. Sikap yang tenang dan selesa dapat menghindarkan anda daripada menerima apa-apa juga jenis alat bantuan kelahiran seperti vakum atau forsep.

Oleh itu, cuba tenangkan diri sejak dari rumah lagi sebelum berangkat ke hospital.

6. Teman Kuat Semangat

Apa yang paling penting dalam memudahkan kelahiran bayi ialah sokongan daripada yang tersayang. Di waktu anda perlu berhadapan dengan segala macam tekanan untuk melahirkan, keberadaan suami di sisi pasti dapat mengurangkan serba sedikit tekanan yang dialami.

Namun, suami perlulah mempunyai semangat yang kental agar dia mampu memberi sokongan ketika anda berhadapan dengan kesakitan untuk melahirkan bayi. Selain daripada suami, anda boleh meminta ibu atau ahli keluarga yang lain untuk menemani.

Oleh yang demikian, ada baiknya anda menentukan siapa yang bakal menemankan diri di dalam bilik bersalin nanti. Malah, pilihan kedua selain daripada suami perlu ada supaya anda tetap ada peneman sekiranya suami menghadapi masalah seperti takut darah, lemah semangat dan lain-lain.

7. Kerap Bergerak

Amalan sentiasa bergerak dengan berjalan-jalan dapat membantu anda ketika proses kelahiran. Malah, jangka masa proses kelahiran boleh menjadi pendek jika anda berdiri tegak. Keadaan sebegini berupaya membantu bayi masuk ke saluran peranakan dengan betul.

Oleh itulah, anda tidak disarankan untuk hanya berbaring di atas katil. Lebih baik anda berjalan-jalan di sekitar kawasan bilik bersalin sambil ditemani suami untuk memudahkan bayi “turun” sekali gus mempercepatkan proses pelahiran.

8. Baring Mengiring Ke Kiri

Amalan sebegini juga amat diyakini mampu mempercepatkan bukaan serviks. Berbaring mengiring ke kiri adalah lebih baik daripada berbaring terlentang kerana posisi ini akan memberi sedikit tekanan kepada bayi untuk membantunya menolak “keluar” dengan cepat.

9. Makan Secukupnya

Pastikan apabila sudah mendekati tarikh jangkaan bersalin, anda makan secukupnya. Ini sangat penting bagi memastikan anda mempunyai tenaga untuk proses meneran. Sekiranya tiada selera makan, banyakkan makan kurma kerana ia berupaya memberi tenaga tambahan kepada tubuh badan.

10. Baca Doa Dipermudahkan Bersalin

Amalkan bacaan doa supaya diberikan kemudahan melahirkan zuriat. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membantu melancarkan dan mempermudahkan kelahiran anak tersayang.

"Ya Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah Yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagi-Mu, Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmat-Mu, Ya Arhamar Rahimin"