Masa kini, ibu bapa sering memberikan laptop dan telefon bimbit serta menyediakan kemudahan Internet kepada anak-anak. Awasilah perbuatan mereka. Jika boleh, jangan sediakan wi-fi di dalam rumah di mana anak-anak dengan mudah boleh mengakses Internet walaupun di dalam bilik. Sentiasa periksa telefon anak, tidak kira lelaki atau perempuan agar dapat mengetahui aktivitinya. Dikhuatiri mereka memuat turun gambar atau video lucah pula.

Zaman sekarang, tugas ibu bapa semakin mencabar. Kita kena mendahului anak dalam teknologi. Kalau mahu belikan komputer, pastikan diri mahir terlebih dahulu supaya tahu cara memantau anak. Tidak salah berikan kepercayaan kepada anak, tetapi jangan terlalu yakin.

Hal ini kerana anak-anak ini kadang-kadang di hadapan ibu bapa baik macam malaikat, tapi di belakangnya, hanya Allah sahaja yang tahu. Semuanya bergantung atas hikmah dan kebijaksanaan ibu bapa dalam mengawalnya. Jangan ingat anak-anak yang jarang keluar rumah, tidak terlibat dengan gejala sosial. Berapa ramai anak perempuan yang tersebar gambar lucahnya dari dalam bilik tidur akibat percayakan rakan Internet.

Bagi anak-anak pula, janganlah khianati kepercayaan yang telah diberikan. Usah hampakan harapan mereka dengan melakukan perkara-perkara  yang bertentangan dengan syarak.

Apa juga perkara yang kita lakukan di alam maya akan memberi kesan di alam nyata. Sama sahaja dosa menayangkan aurat di alam nyata dan laman media sosial. Begitu juga dengan pergaulan di alam nyata mahupun maya. Semuanya ada batasan. Bukan bererti tidak melihat wajah atau menyentuh pasangan (cuma berkomunikasi menerusi tulisan) menjadikan ia halal untuk dilakukan sehingga berbicara perkara yang bukan-bukan.

Apatah lagi alam maya lebih berbentuk kekal berbanding alam nyata. Jika di alam nyata, jika wanita memberikan gambar kepada lelaki, maka dia boleh meminta ia dipulangkan sekiranya hubungan terputus. Tetapi, satu gambar yang diberikan di alam maya, boleh tersebar sehingga ke luar negara dan untuk memadamkannya adalah hampir mustahil. Kita boleh minta lelaki itu memadamkannya, tetapi bagaimana dengan lelaki-lelaki lain yang sempat save gambar itu? Jadi, berhati-hatilah dalam pergaulan. Tidak kira pergaulan di alam maya atau di alam nyata. Ia masih lagi tertakluk pada batas dan adab yang telah diterangkan oleh syarak.