Bila nak sambut raya, kaum ibu bukan hanya kena sibuk buat persiapan kuih raya dan baju raya sahaja tapi kena juga buat persediaan barang-barang keperluan si kecil untuk balik kampung. Kalau dah ada anak kecil, balik kampung memang banyak barang kena bawa.

Antara barang utama yang tak boleh dilupakan iaitu ubat-ubatan asas anak terutama kalau tiba-tiba demam, batuk dan selesema. Tapi kalau terlupa bawa dan klinik di kampung pula tak buka, sekurang-kurangnya ibu kena tahu apa petua atau cara rawatan semula jadi untuk anak yang tak sihat. Tapi ini hanya sesuai untuk penyakit biasa seperti demam, batuk dan selesema sahaja!

Yang pasti 'ubat-ubatan' ini semuanya ada di dapur emak anda di kampung. Jangan risau, semuanya bahan semula jadi yang selamat digunakan.

1. Daun sireh

Daun ini memang kita sedia maklum berguna untuk tujuan perubatan. Daun sireh mengandungi eugenol yang bersifat antifungal dan antiseptik yang berperanan membunuh bakteria. Sifat antiseptiknya juga adalah lima kali lebih efektif. Ia sangat sesuai untuk merawat bayi yang ada selesema dan batuk berkahak.

Layurkan daun sirih atas api dapur, lepas itu letak sikit balm pada daun sireh dan lekapkan pada dada dan belakang badan bayi (jangan terlalu panas). Buat berulang kali sampai selesema dan batuk bayi hilang.

2. Kunyit

Kunyit terkenal dengan sifat anti radangnya yang kuat, oleh itu ia sangat berkesan untuk merawat penyakit akibat peradangan. Kunyit juga berkhasiat sebagai antioksida dan bagus untuk merawat selesema dan hidung tersumbat akibat hingus.

Caranya mudah sahaja, bersihkan kunyit hidup, kupas kulitnya, asah kunyit pada permukaan kasar lesung batu untuk mendapatkan cecair dari kunyit. Sapu kunyit yang sudah diasah pada batang hidung bayi.

3. Bawang putih

Bawang putih mengandungi sifat anti bakteria, antibiotik dan antivirus untuk menghilangkan batuk dan selesema. Ia membantu mengeluarkan bakteria, melegakan saluran nafas dan mengeluarkan kahak yang terkumpul di saluran nafas dan paru-paru.

Cara rawatan yang mudah iaitu bakar seulas bawang putih tanpa dibuang kulit, kemudian campur dengan minyak zaitun atau minyak masak. Sapu pada tapak kaki, dada dan belakang badan anak. Boleh juga buat campuran 1 setengah cawan air, 5 ketul gula batu dan enam ulas bawang putih yang dimasak sehingga air menjadi setengah cawan. Kemudian bagi anak minum (hanya sesuai untuk anak usia setahun ke atas).

4. Lemon

Buah ini kaya dengan vitamin C yang bersifat antibakteria dan antiviral yang dapat meningkatkan sistem imun badan untuk melawan jangkitan virus. Gunakan lemon sebagai rawatan untuk anak demam, batuk dan selesema dengan cara mandikan anak dalam air suam yang dicampur hirisan lemon atau letak hirisan lemon di tapak kaki anak semasa tidur sama ada lekatkan guna selotape atau pakaikan stoking atau minum air suam yang diperahkan lemon.

5. Madu

Kita sedia maklum tentang khasiat madu yang banyak sekali untuk menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk meningkatkan sistem kekebalan badan. Antara yang paling popular iaitu keberkesanannya untuk merawat batuk.

Minum 2 sudu teh madu sebelum tidur dan ia dikatakan mampu mengurangkan kecenderungan batuk ketika tidur waktu malam. Penemuan ini berdasarkan satu kajian dilakukan oleh Penn State College of Medicine pada tahun 2007 melibatkan seramai 270 orang kanak-kanak berusia 1 hingga 5 tahun. Tetapi jangan sekali-kali bagi pada bayi bawah umur setahun minum madu ketika dia batuk!

Rawatan tersebut hanya sesuai untuk si kecil yang mengalami masalah batuk, selesema dan demam yang tidak teruk. Sekiranya penyakit dialami oleh anak masih berlarutan selepas lima hari walaupun sudah mencuba rawatan semula jadi tersebut, segeralah bawa berjumpa doktor untuk rawatan dan pemeriksaan lebih lanjut.