Bergelar ibu bapa di zaman sekarang tak sama seperti zaman ibu bapa dulu. Kesibukan ibu bapa bekerja siang dan malam demi kelangsungan hidup yang semakin mendesak. Kadangkala terpaksa berkorban meninggalkan anak-anak di bawah tanggungjawab pengasuh.

Dalam kesibukan bertarung dengan masa yang sangat terhad dengan anak-anak, ibu bapa sekarang juga berdepan cabaran anak-anak terdedah kepada pelbagai informasi baik dan buruk tanpa sempadan seawal usia bayi lagi. Pendek kata ibu bapa sekarang tak boleh leka membiarkan anak tanpa pengawasan. Tetapi dengan kesibukan urusan kerja di luar rumah, bagaimanakah cara terbaik mengawal anak-anak yang membesar?

1. Kuatkan pegangan agama

Asas agama yang kuat sentiasa menjadi benteng terbaik dalam membesarkan anak. Tanpa didikan agama yang kuat, anak-anak akan membesar tidak mengikut landasan yang betul. Hanya agama sahaja yang dapat menghalang pelbagai anasir jahat daripada mempengaruhi anak kita.

2. Teguhkan hubungan suami isteri

Anak-anak adalah peniru yang hebat. Mereka perlukan persekitaran yang positif untuk membesar. Jika ibu dan ayah mempunyai hubungan yang erat dan mesra, anak-anak turut menerima aura yang positif. Mereka akan lebih menghormati ibu bapa, mudah mendengar kata dan senang dinasihat. Elakkan sama sekali daripada bergaduh atau bertengkar di hadapan anak kecil. Ia boleh beri kesan negatif pada mereka selain anak akan memberontak dalam diam.

3. Sentiasa beri perhatian pada anak

Anak-anak yang sedang membesar tidak perlukan kemewahan tetapi apa yang mereka mahu adalah kasih sayang dan perhatian dari ibu bapa. Mereka tidak peduli anda banyak kerja atau sibuk dengan urusan lain kerana apa yang penting bagi mereka adalah masa yang diluangkan untuk mereka. Mereka mahu ibu ayah membelai, memanjakan, berbual-bual, bergurau-senda dan melakukan aktiviti bersama.

4. Tegas dengan peraturan yang ditetapkan

Anak-anak sekarang memang lebih bijak daripada anak-anak zaman dulu. Banyak faktor persekitaran membuatkan si kecil sangat berani dan 'out spoken'. Oleh itu sebagai ibu bapa anda perlu menjadi orang yang tegas berpegang pada peraturan yang ditetapkan dalam mendidik mereka. Jika anda berkata "tidak", maka jangan cuba mengubahnya hanya kerana kasihan atau tak tahan mendengar anak menangis.

5. Jangan abaikan perasaan anak

Walaupun mereka masih kecil tetapi jangan abaikan perasan anak. Anak-anak pun ada perasaan sama seperti orang dewasa cuma mereka tidak tahu meluahkan sahaja. Mereka akan ingat benda-benda negatif yang dialami sampai besar. Itu yang amat ditakutkan.

6. Hadkan penggunaan gajet

Zaman sekarang gajet seperti 'handphone' dan tablet adalah barang wajib ada pada setiap orang. Walaupun ramai di kalangan kita beranggapan tak boleh 'hidup' kalau tak ada 'handphone' tetapi janganlah jadikan ia sebagai alat memisahkan kita dan keluargan atau menjurangkan hubungan antara ibu bapa dan anak. Menghadkan pengunaan alat gajet ketika berada di rumah patut dilakukan oleh semua orang. Sebaiknya kalau di rumah berilah tumpuan dan perhatian pada anak-anak dan tinggalkan seketika 'handphone' anda.

7. Pergi bercuti untuk kuatkan hubungan keluarga

Bercuti bukan hanya untuk orang kaya-kaya sahaja dan tak semestinya kena bawa keluarga bercuti ke tempat yang mahal. Pilihlah tempat bercuti mengikut bajet masing-masing. Sebaiknya masukkan bajet percutian keluarga dalam senarai kewangan anda berdua. Peluang bercuti walaupun sekadar berkelah di tepi sungai berhampiran rumah memberi impak besar pada perhubungan anda sekeluarga. Ketika bercuti, masing-masing berada dalam mood yang gembira dan ceria. Ambillah peluang ini untuk memberikan nasihat atau menegur kesilapan anak-anak dan dalam cara yang santai.

Ibu bapa sekarang perlu lebih kreatif dalam membesarkan anak-anak dan mengikut apa yang trending pada masa sekarang supaya kita boleh seiring dengan tumbesaran anak. Jangan sampai kita tertinggal jauh sangat dengan perkembangan teknologi hari ini kerana bimbang tak sempat nak kejar anak yang laju di depan.