Memiliki anak-anak yang bijak dan berakhlak sentiasa menjadi impian di dalam hati setiap yang bergelar ibu bapa. Maka, berusahalah para ibu bapa untuk mengikut segala tips dan panduan yang dikongsikan oleh pakar cerdik pandai dalam bidang keibubapaan.

Segala ilmu dan info yang diperolehi akan dicuba pada anak. Alhamdulillah bagi yang berjaya tapi tak semua ibu bapa akan mendapat hasil yang sama walaupun melakukan amalan yang sama.

Jangan putus asa wahai ibu ayah. Ada rahsia yang dikongsikan oleh penceramah bebas, Ustazah Norhafizah Musa bagaimana nak mendapat anak bijak dunia dan akhirat.

1. Sentiasa jaga hubungan dengan Allah

Kalau kita nak anak baik dan cemerlang, kitalah yang kena memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Ibu ayah hendaklah selalu kembali kepada Allah dengan rajin taubat nasuha. Mengerjakan solat sunat taubat meminta ampun pada Allah.

"Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, kejahilan, kealpaan dan kecuaian kami terhadap anak-anak, ampunkan tangan-tangan kami yang sering melakukan dosa. Janganlah kesalahan kami jadi tempias kepada anak-anak kami."

Hanya Allah yang membuka pintu hati anak-anak kita. Dia jua yang menyampaikan aura kita kepada anak-anak. Kita boleh pesan, nasihat dan bebelkan anak-anak tapi yang sampaikan dalam hati mereka adalah Allah SWT.

Kalau kita banyak bergelumang dengan dosa dan buat salah silap, frekuensinya tak akan sama, ia tak sampai dan masuk ke dalam hati anak kerana yang masukkannya adalah Allah SWT. Allah hendak melihat ibu bapa luar biasa mendekatkan dirinya kepada Allah.

2. Buang segala kerunsingan & kerisauan terhadap anak-anak

Berserah diri dengan Allah SWT. Memang hati ibu bapa sentiasa risau memikirkan anak-anak. Tetapi sebaiknya bertawakal kepada Allah untuk menjaga anak-anak kita selepas melakukan yang terbaik untuk mereka.

Semoga dengan sentiasa bertaubat nasuha, memohon keampunan serta berserah kepada Allah, akan bertambah senang dan mudah perjalanan kita untuk mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah.

3. Berdoa sepanjang masa

Bukankah doa ibu ayah terhadap anak adalah doa yang paling mustajab. Gunakan kelebihan ini untuk berdoa sepanjang masa. Tak perlu tunggu waktu lepas solat baru nak berdoa. Sentiasa doakan anak-anak di depan mereka.

Sebut dengan jelas apa yang kita doakan untuk anak. "Ya Allah permudahkanlah perjalanan anakku dalam menjadi seorang tahfiz satu hari nanti. Ya Allah jaga anak-anakku, lindungilah mereka daripada perkara-perkara buruk."

Dengan berdoa ia akan membuatkan kita rasa tenang dan lapang. Nikmat bercakap dengan Allah membuatkan semua masalah hilang dalam kepala. Segala kerisauan sudah dicabut oleh Allah kerana kita sudah cukup tenang dan bahagia dapat meluahkannya dengan Allah SWT.

4. Jadi role model

Tunjuk contoh pada anak-anak. Biasanya ramai antara kita agak gagal menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak. Jangan biarkan anak kehilangan role model dalam hidup mereka. Contohnya, kita suruh anak sabar tapi kita sendiri cepat naik angin dan marah-marah atas perkara yang remeh.

Akibatnya anak jadi keliru siapa yang hendak dicontohi sebenarnya. Sepatutnya kita tunjukkan cara hidup sebagai ibu ayah yang ikut akhlak Nabi Muhammad saw.

Antara contoh yang anak nak lihat pada ibu ayah ialah yang mengamalkan cara hidup Islam iaitu peribadi yang tenang dan bahagia. Itu harapan anak-anak walaupun dia tak tahu dan tak pernah cakap pada ibu bapa.

Anak-anak nak tengok ibu ayah yang manis wajahnya, ceria dan bahagia walaupun ada banyak masalah, tanggungjawab dan komitmen tapi biarlah disorokkan depan anak-anak. Senyum dan pikatlah hati anak-anak.

5. Hati mesti suci & bersih

Hati walaupun tidak boleh dilihat pada mata kasar tapi ia boleh direfleksikan pada kata-kata, perbuatan dan tindakan. Orang yang mempunyai hati berpenyakit sentiasa akan merasa sakit hati, benci, dengki pada masalah-masalah kecil, kawan-kawan sekeliling dan sebagainya.

Kalau hati tak bersih memang boleh nampak di luar. Kalau hati kita berpenyakit, kasihanlah pada anak-anak sebab dijaga dan dibesarkan oleh ibu ayah yang mempunyai penyakit hati. Anak-anak akan membesar dalam kesengsaraan kalau mempunyai ibu atau ayah yang mempunyai hati berpenyakit. Bersihkan hati kerana Allah, InsyaAllah anak-anak akan dapat impak yang positif.

6. Didik anak tanggungjawab bersama

Tugas mendidik anak bukan hanya terletak pada bahu ibu atau ayah seorang sahaja. Kedua-duanya kena bekerjasama dan bersepakat. Kena ada kata kunci dalam mendidik anak-anak. Suami isteri tak boleh bergaduh dalam bab mendidik anak. Kalau tak sefahaman dan selalu bergaduh, ia boleh bagi kesan pada anak-anak.

7. Tunaikan hak-hak sebagai ibu ayah

Sebagai ibu bapa kita mesti tunaikan tanggungjawab mendidik anak dengan baik. Terus perbaiki diri untuk menjadi ibu bapa yang baik. Soal keputusan apa yang akan jadi pada anak-anak, kita tawakal sahaja pada Allah SWT.

Kalau tak tawakal kita akan duduk dalam kerisauan. Allah tak pernah menzalimi hambaNya. Segala yang berlaku pasti baik menurut ilmu Allah. Apa pun keadaan anak kita sekarang, itu adalah yang terbaik untuk kita.

Setiap usaha kita buat walau sekecil mana pun, Allah nilai dengan sebaik-baiknya. Allah sebenarnya nak bagi pahala kepada kita melalui anak. Jadi, bersabarlah menghadapi kerenah anak-anak yang banyak ragamnya.

8. Memperkasa akidah tauhid dalam diri anak-anak

Jangan fikir anak anda yang masih bayi tak perlu diperkenalkan pada Allah. Masa peringkat umur 0-6 tahun, cakap apa sahaja dengan dia tentang akidah tauhid. Sentiasa sebut tentang kewujudan Allah. Dia masih fitrah, walaupun nampak tak faham atau tak ambil tahu tapi bila tiba masanya anak akan faham.

Tanamkan dalam hati anak tentang Allah, Allah, Allah. Semoga bila mereka dewasa, Allah sentiasa ada dalam hati mereka walau bagaimana kuat cabaran yang perlu dihadapi.

Peranan ibu bapa adalah untuk bersama anak-anak dalam proses mereka mengenal Allah. Ia mengambil masa yang lama, jadi penting untuk ibu bapa sentiasa memberi nasihat dan bimbingan. Ingatkan anak-anak supaya jangan sekali-kali mensyirikkan Allah. Sejak kecil biasakan mereka jangan jadi penakut, atau kagum dengan kuasa lain yang kononnya hebat dan bila diminta buat sesuatu mahukan upah. Ajar mereka buat semuanya kerana Allah. Ingatkan berulang-ulang kali. Jangan jemu!

Sebagai orang tua, kita sepatutnya bersama-sama dengan anak mendukung cita-cita mereka nak jadi orang yang mampu beri manfaat kepada orang lain bila besar nanti. Hati anak-anak sangat tulus dan bersih, mereka hanya harapkan pada ibu ayah untuk mencorakkkan diri mereka sama ada menjadi baik atau sebaliknya.

Sumber foto: Facebook Ustazah Norhafizah Musa (Official)