Ibu bapa selalu memberi kata-kata semangat kepada anak-anak untuk buat yang terbaik terutama bila mereka hendak menghadapi peperiksaan, masuk sesuatu pertandingan, bahkan kepada si kecil yang baru hendak belajar bertatih.

Memanglah bagus memberikan kata-kata semangat kepada mereka tetapi kita lupa atau tak pernah terfikir untuk bekalkan mereka dengan persediaan menghadapi kegagalan atau kekalahan. Jadi bila sesekali si kecil gagal atau kalah dalam sesuatu perkara mereka cepat marah, naik angin, merajuk, putus asa dan macam-macam lagi perkara negatif.

Cuba anda perhatikan sikap dalam dua situasi yang biasa berlaku kepada anak-anak kita.

Situasi 1

Naila berusia dua tahun, seorang kanak-kanak yang ceria, suka bermain dan sudah tentu rajin 'explore' dunia sekelilingnya. Maklumlah budak baru nak kenal dunia jadi macam-macam benda dia nak buat.

Dia suka bermain permainan lego atau kuib tetapi yang selalu menjadi masalah Naila cepat naik angin atau mengamuk bila gagal memasang legonya. Akibatnya dia marah dan meragam. Biasanya ibu akan membantu Naila memasang lego tersebut kerana tidak mahu si anak cepat marah.

Situasi 2

Adam berusia empat tahun. Dia gemar bermain dengan kawan-kawan di tadika. Ketika hari sukan tadika, Adam masuk pertandingan lumba lari bawa bola ping pong. Sebelum itu Papa dan Mama sudah beberapa kali memberikan kata semangat buat yang terbaik supaya jadi juara.

Tetapi malangnya, Adam kalah dalam pertandingan. Dia sangat marah dan geram bahkan mengamuk tak boleh terima kekalahannya. Papa dan Mama menebus kegagalan Adam iaitu memanjakan dia dengan hadiah dan membelikannya permainan kegemaran.

Kebanyakan ibu bapa akan buat perkara yang sama. Semuanya kerana tak mahu anak mengamuk atau kasihankan mereka. Sebenarnya kita tersilap. Sebaiknya kita pujuk mereka dan beritahu anak bahawa tak salah untuk sesekali kalah atau gagal.

Kenapa? Ini antara sebabnya. Ia penting untuk mendidik anak anda tentang kehidupan yang lebih mencabar apabila mereka semakin dewasa kelak.

1. Pelajaran hebat

Kalah atau gagal dalam sebarang perkara adalah satu pelajaran paling hebat kepada manusia. Tak kira bayi atau pun orang dewasa. Jadi, sentiasa ingatkan anak anda tentang hal ini. Ajar mereka terima kekalahan atau kegagalan dengan hati terbuka dan terus berusaha lagi.

2. Lebih kuat berusaha

Sepatutnya bila gagal, ada sesuatu yang boleh dipelajari. Anda menjadi orang yang lebih kuat berusaha! Itu yang patut anda ajarkan kepada anak. Bukan pujuk dia dengan memberikan mainan atau hadiah sebagai sogokan supaya dia berhenti mengamuk.

3. Cabaran untuk lebih berjaya

Ajar anak supaya jadikan kegagalan satu cabaran untuk menjadi lebih baik dari semalam. Mungkin si kecil masih belum faham erti cabaran tetapi anda gunalah kreativiti sebagai ibu bapa untuk memberi penerangan kepadanya.

4. Belajar merendah diri

Merendah diri bukan bererti kurang keyakinan tetapi ia lebih kepada sifat mulia seorang insan. Menjadi orang yang rendah diri itu lebih mulia berbanding menjadi orang yang berjaya tetapi sombong. Pesan kepada anak tentang hal ini!

5. Tak mudah berputus asa

Ramai orang-orang terkenal yang berjaya pada hari ini pernah mengalami kegagalan atau kekalahan dalam hidup mereka. Ceritakan kepada si kecil tentang perkara ini.

Sentiasa ingatkan mereka bahawa bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Semua orang yang berjaya pada hari ini pernah gagal dan mereka tidak berputus asa sebaliknya terus berusaha untuk mencipta kejayaan.

Masyarakat kita hari ini terlalu mengagungkan kejayaan dan kecemerlangan sehingga mempengaruhi anak-anak kecil yang masih belum faham erti kehidupan. Anak-anak jadi tertekan sebab sentiasa diingatkan untuk menjadi orang berjaya.

Mereka jadi takut untuk gagal atau kalah. Akibatnya kalau gagal atau kalah mereka menjadi malu, marah, lemah dan takut berhadapan dengan orang lain.

Ibu bapa, ajar anak bahawa 'ok' untuk sesekali menjadi orang yang gagal atau kalah. Mereka boleh luahkan perasaan tak puas hati tetapi dalam cara yang positif serta membangkitkan semangat untuk terus berusaha.

Ingatkan anak-anak bahawa mereka tidak akan sentiasa menjadi yang terbaik, tercemerlang, terkuat, terpantas atau sebagai juara. Sesekali akan melalui kegagalan tetapi jadikan ia sebagai cabaran dan pilih utnuk belajar lebih baik daripada kekalahan.

Penting bagi ibu bapa untuk mengajar anak-anak supaya tidak hilang nilai kemanusiaan atau kerendahan hati apabila mereka mengalami kegagalan.