Keadaan ekonomi yang semakin meruncing ketika ini memerlukan kepakaran untuk menguruskannya dengan cekap. Sebagai papa dan mama anda berdua perlu saling bekerjasama merancang pengurusan kewangan keluarga dengan bijak.

Tip 1: Masukkan matlamat masa hadapan dalam perancangan bajet bulanan

Perancangan membantu anda merealisasikan impian dengan berkesan. Sebaiknya rancang perkara yang anda hendak lakukan pada masa hadapan. Misalnya, jika anda rancang untuk membeli kereta pada tahun hadapan, masukkan bayaran bulanan yang terpaksa anda bayar nanti ke dalam bajet. Dengan cara ini, anda akan lebih bersedia apabila tiba masanya. Lebih baik berjimat sekarang daripada tergesa-gesa untuk memperbaiki bajet apabila tiba masanya.

 

Tip 2: Senaraikan semua perbelanjaan ahli keluarga

Dengan cara ini anda tahu ke mana aliran wang masuk dan keluar. Jika dirasakan barangan tersebut tidak penting untuk dibeli anda boleh nilai sendiri berdasarkan keupayaan kewangan yang anda ada.

 

Tip 3: Peruntukan bayaran tetap

Wang ansuran untuk bayaran rumah, kereta, insurans, bil-bil dan sebagainya yang tetap setiap bulan perlu diperuntukan dalam jumlah yang tepat setiap bulan. Apabila mendapat bayaran gaji, asingkan awal-awal wang untuk segala pembayaran hutang dan bil yang tetap. Daripada lebihan wang tersebut, barulah anda rancang bajet bagi keperluan keluarga. Wang untuk peruntukan makanan isi rumah juga boleh disediakan secara tetap setiap bulan.

 

Tip 4: Wang simpanan dan kecemasan

Pastikan setiap bulan anda memperuntukkan sejumlah wang untuk simpanan dan kecemasan. Akaun simpanan wang yang tetap setiap bulan wajib ada untuk sebuah keluarga. Sementara simpanan kecemasan pula penting untuk kegunaan sebarang perkara yang tidak disangka seperti sakit, kemalangan dan sebagainya.

 

Tip 5: Ikut apa yang dirancang

Keazaman yang kuat diperlukan oleh anda berdua bagi memastikan perancangan kewangan berjalan lancar seperti yang dirancang. Tiada gunanya anda membuat senarai yang panjang tentang perancangan kewangan sekiranya anda tidak berdisiplin mengikutnya.