Oleh kerana ibu bapa memainkan peranan penting untuk mempengaruhi pemikiran dan kelakuan anak maka berusahalah untuk sentiasa cakap kata-kata yang baik pada mereka.

Anak-anak bukan sahaja mencontohi kata-kata yang diucapkan oleh papa dan mama tetapi juga meniru perbuatan anda. Kebanyakan kanak-kanak melihat ibu bapa sebagai mentor atau hero mereka. Tak hairanlah kalau ditanya pada si kecil apa nak jadi bila besar nanti. Jawapnya "macam papa atau macam mama"!

Jadi, janganlah terlepas peluang untuk terus mendidik anak dengan aura positif. Pastikan anda besarkan mereka dengan penuh kasih sayang bukannya kemewahan semata-mata.

Berikut antara kata-kata yang anda mesti cakap pada anak setiap hari. Nampak mudah tapi kesannya sangat besar pada diri mereka.

1. Adik boleh lakukannya

Tugas mudah yang perlu dibuat di rumah mungkin nampak sukar bagi si kecil. Jangan perkecilkan mereka sebaliknya berikan kata-kata semangat dan perangsang. Ingat ya, bila papa dan mama bagi kata perangsang lama-lama anak akan lebih berkeyakinan akan kebolehannya.

2. Jangan putus asa

Beri galakkan pada anak supaya tak mudah putus asa. Kadangkala si kecil cepat mengamuk bila sesuatu perkara yang dia buat tak berjaya dilakukan. Jangan cepat membantunya tapi berikan kata semangat dia boleh buat. Bila sudah berjaya, ingatkan dia supaya usaha dulu sebelum putus asa.

3. Mama/Papa percayakan adik

Tunjukkan pada anak yang anda adalah peminat nombor satunya. Buktikan pada mereka yang anda sangat percaya pada kebolehannya dan tahu tentang potensi dirinya.

4. Adik memang bijak

Kanak-kanak yang merasakan diri mereka kurang bijak berbanding kawan-kawan lain biasanya akan cepat mengalah jika ada unsur-unsur kesukaran dalam sesuatu perkara. Mereka akan cakap "adik tak pandai". Untuk mengelakkan anak daripada rasa kalah sebelum berjuang, cepat-cepat berikan pujian di atas kebijaksanaan mereka.

5. Kita belajar daripada kebiasaan

Sentiasa pesan pada anak supaya rajin berusaha. Tiada orang yang boleh terus berjaya bila kali pertama dia lakukan sesuatu perkara. Bila rajin berusaha dan berlatih, benda yang susah pun akan jadi senang untuk dibuat.

6. Sentiasa buat yang terbaik

Amat penting untuk mengajar anak supaya sentiasa buat yang terbaik dan jangan sekali-kali mengalah atau rasa rendah diri.

7. Papa & Mama sentiasa ada bersama

Ibu bapa perlu mewujudkan perasaan selamat dan selesa dalam diri anak-anak. Mereka perlu tahu yang mereka tidak akan keseorangan kerana papa dan mama sentiasa ada bersama dalam apa jua cabaran yang dihadapi.

Perkara kecil yang anda selalu lakukan setiap hari rupanya boleh menanamkan nilai positif pada anak. Ia membantu mereka membesar sebagai anak yang berkeyakinan dan ceria sampai dewasa. Patutlah ada kanak-kanak yang kurang buat perangai dan nampak mudah diajar. Rupanya ibu bapa mereka ucapkan kata-kata positif yang nampak remeh tapi beri kesan besar.