Walaupun kebanyakan anak-anak lebih rapat dengan ibu tetapi tahukah anda mereka sebenarnya akan cenderung mencontohi perilaku ayah berbanding ibu. Berikut adalah pesanan paling penting untuk lelaki begelar ayah:

1. Tunjukkan contoh terbaik depan anak

Anak-anak kecil memang suka memerhati dan meniru kembali perbuatan orang dewasa. Jadi ayah mestilah tunjukkan kasih sayang pada isteri di depan anak. Misalnya puji isteri yang rajin memasak, masakan isteri sedap, tolong kemas rumah, peluk isteri sebagai tanda kasih, cakap baik-baik dengan isteri. Jika anak sudah biasa melihat kasih sayang ayah terhadap ibunya sejak kecil maka membesarlah dia sebagai individu yang juga penuh kasih sayang kerana hendak mencontohi tingkah laku ayahnya.

2. Sembunyikan tingkah laku negatif depan anak

Memang tiada manusia yang sempurna tapi bila sudah bergelar ibu bapa, maka sebaiknya anda sorokkanlah perangai buruk anda. Jangan tunjuk depan anak-anak ya! Misalnya tabiat merokok, tengking orang, maki hamun, pemalas, kuat tidur, suka komplen dan bermacam lagi kelakuan negatif anda hendaklah dilakukan di luar pengetahuan anak yang sedang membesar. Jangan terkejut kalau mereka pun tiba-tiba ada perangai negatif.

3. Jangan marah anak sampai tak ingat dunia

Orang lelaki kalau jenis yang cepat marah memang tak boleh kawal kemarahan mereka walaupun pada anak kecil. Bila sudah bergelar bapa, anda perlulah belajar kawal api kemarahan kerana anak-anak akan lebih terkesan bila dimarahi ayah berbanding ibu. Kenapa? Kerana kemarahan ayah akan melekat dalam minda dan hati anak sampai bila-bila.

Biasanya anak-anak akan lebih takutkan ayah berbanding ibu, sebab itu mereka mudah mengikut arahan ayah berbanding ibu. Walaupun ibu kuat membebel dan marah-marah tetapi anak tahu ibu cepat sejuk hati dan anak juga mempunyai hubungan rapat dengan ibu sejak dalam kandungan lagi. Tetapi anak kurang faham karektor ayah, maka ayah janganlah memaki hamun anak, berkasar dengan anak dan marah dengan semahu-mahunya pada anak-anak kecil yang belum mummayiz. Sebaiknya marahkan anak sebagai cara didik mereka sahaja. Lepas marah pujuklah balik anak. Si kecil cepat sejuk hati.

4. Rajin-rajin berbual dengan anak

Janganlah ayah asyik sibuk dengan kerja dan handphone sahaja. Kalau di rumah layanlah anak bercakap dan bermain. Kadangkala anak takut hendak bercakap atau bergurau dengan ayah sebab ayah terlalu serius dan garang. Tak hairanlah anak lebih senang berbual atau mengadu apa sahaja dengan ibu. Kata pakar sosiologi, anak yang berbual dengan ayahnya akan mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berkomunikasi dengan ayah. Jadi, kalau nak anak bijak maka rajin-rajinlah melayan mereka bercakap ya para ayah!

5. Binalah hubungan rapat dengan anak

Kajian juga menunjukkan anak yang rapat dengan ayah mempunyai akhlak yang lebih baik dan mengurangkan masalah sosial ketika usia remaja. Tentu kita biasa baca kisah anak-anak remaja yang mengalami keruntuhan moral dan akhlak. Kebanyakan mengakui mereka tidak rapat dengan ayah masing-masing. Pendek kata sejak kecil tiada hubungan rapat dan interaksi dengan si ayah. Apabila meningkat remaja, mereka lebih selesa rapat dengan kawan-kawan. Akibatnya mereka kurang mendapat kasih sayang, perhatian dan tunjuk ajar daripada lelaki bergelar ayah!

Waktu kecil anak-anak seronok kalau dapat bermain dengan ayah. Cara ayah melayan anak-anak bermain berbeza dengan cara ibu. Biarpun anak-anak lebih rapat dengan ibu tetap mereka lebih seronok kalau dapat bermain dan bergurau dengan ayah. Biarkan hubungan rapat anak dan ayah berpanjangan sehingga dewasa. Tugas dan tanggungjawab membesar dan mendidik anak bukan hanya terletak di bahu isteri. Suami turut ada 'saham besar' mempengaruhi tingkah laku seorang anak.