Tak kisahlah ibu tu suri rumah atau yang bekerja pasti teringin juga untuk keluar sambil merehatkan minda. Kalau suri rumah mungkin nak ‘rehat’ dari buat kerja rumah untuk sementara waktu. Manakala bagi ibu bekerja, stres dengan kerja di pejabat juga buatkan diri sedikit tertekan.

Jadi untuk nak dapatkan ketenangan, dapat keluar window shoping pun dah kira ok kan? Walaupun sekejap dah memadai. Tapi ada juga ibu-ibu yang bagi alasan bila ada anak kecil susah nak keluar ke mana-mana.

Perkongsian dari seorang ibu ini boleh membantu ibu yang ada anak kecil tapi kena jaga bersendirian semasa nak keluar.

Ada dua puteri ni kadang-kadang terasa macam ada lima, atau enam orang. Alhamdulillah kakak jenis yang cool, tapi masya-Allah si bongsu kaki tantrum. Spinkan diri atas lantai termasuk membatukan tubuh tiba-tiba ketika sedang berjalan adalah hobinya selain menyanyi.

Tapi ini semua tak jadi halangan untuk berhibur dan bersosial. Memang kita semua perlukan 'me-time' tapi kalau tak jumpa, tak apa. Pastikan kita dapat bergembira walaupun terpaksa bawa anak kecik. Pergilah window shopping dan tengok wayang sambil kunyah pop-corn.

Kalau dah terpaksa bersendirian dan perlu bawa keluar lebih dari seorang anak, ini antara tip yang mungkin berguna. Terpakai jika anak-anak berusia bawah 4 tahun:

1. Pastikan anak tidur sepuas-puasnya dulu. Macam dua puteri ni, tengahari mesti kena tidur lepas makan supaya tak buat hal. Bila mengantuk mereka akan meragam tak tentu hala.

2. Kalau mampu sorong stroller, silakan. Tapi kalau leceh, pastikan tempat yang nak melepak tu ada pasar raya yang boleh dipinjam trolinya. Letak si kecil dalam troli kalau dia letih berjalan.

3. Upah si kecil makanan berkhasiat seperti potongan buah-buahan, roti, biskut ataua apa-apa makanan kegemaran untuk mereka kunyah-kunyah. Ini taktik nak pastikan anak-anak lebih leka dengan makanan dan kita pun mampu fokus dengan window shopping yang sedang dilakukan.

4. Ada juga ibu yang nak bagi anak diam akan bagi gajet. Cara ini memang anak akan senyap tapi ini bukan kaedah yang baik untuk perkembangan anak-anak. Dah la kat umah kartun, luar layan kartun lagi. Eloknya libatkan mereka dalam aktiviti ketika kita sedang membeli-belah. Contoh: 'Adik, cantik tak baju ni'. Minta pendapat walaupun tak mungkin kita ikut pandangan mereka. Biar mereka rasa tak bosan kerana ada komunikasi sepanjang masa.

5. Bawa kawan seorang untuk teman. Lebih baik jika kawan bujang yang tak ada komitmen jadi tak adalah rasa terganggu dari suami atau teman lelaki yang suruh balik awal. Kawan kita ni sebenarnya berguna untuk detik-detik seperti kita nak solat atau terpaksa bergegas ke tandas. Jadi tak payah la nak angkut semua sekali si kecik tu dalam tandas.

6. Cara ini tak tahu orang lain praktikkan atau tak tapi yang ni agak penting. Suara pastikan consistently in HIGH VOLUME. Macam anak-anak saya, mereka suka main nyorok-nyorok sebalik baju. Untuk elakkan perkara tak diingini, selalu jerit nama mereka untuk pastikan dia ada disekeliling kita.

Latih anak-anak jawab 'yes mama' bila nama mereka dipanggil. Faham-fahamlah sekarang ni macam-macam. Jadi lebih baik hati-hati. Jangan peduli orang jeling ke atau tengok kau macam tak bertamadun terpekik-pekik, janji anak selamat.

7. Sebelum balik, amalkan dulu makan sama-sama. Inilah masa terbaik. Waktu kerja mana ada masa nak makan sama-sama. Asyik berlari dengan masa je. Jangan bagi tab masa ni. Adab orang Melayu, masa makan kena fokus.

Ada banyak lagi tip tapi ikut kesesuaianlah. Kalau berjaya kawal anak-anak bersendirian ketika keluar, anda memang ibu yang hebat. Orang lain ada suami tolong sorong stroller, dukung anak, bawa beg tangan isteri, tapi ibu yang urus anak sendirian kena berjiwa kental.

Sumber: Paola Kira