Nampak remeh tapi Cara yang salah boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi dan akhirnya akan mengganggu tidurnya.

Ada beberapa perkara yang perlu ibu perhatikan sebelum dan semasa mencuci baju bayi dengan mesin basuh. Bagi ibu yang sedang menanti kelahiran si kecil disyorkan memilih pakaian dan kelengkapan bayi yang praktikal.

Baju, lampin, sarung tangan dan kaki, selimut, cadar, dan sarung bantal dari material kapas merupakan pilihan terbaik untuk bayi. Selain lembut di kulit dan mudah menyerap peluh, kain kapas juga lebih mudah dicuci dan lebih cepat kering.

Pentingkah mencuci baju bayi yang baru dibeli?

Tahap sensitiviti kulit setiap bayi berbeza-beza. Sebahagian bayi mempunyai kulit yang tidak terlalu sensitif sehingga mampu bertolak-ansur dengan elemen-elemen asing yang bersentuhan dengannya, sedangkan sebahagian bayi yang lain mempunyai kulit yang sangat sensitif sehingga mencetuskan reaksi alergi. Demi melindungi kulit bayi, apa pun tahap sensitivitinya, pakaian bayi perlu dicuci sebelum pertama kali dikenakan.

Buat pengetahuan umum, pakaian bayi yang baru dibeli mengandungi pelbagai bahan campuran semasa proses pengeluaran untuk membuat pakaian tersebut. Selain itu, debu juga turut terkumpul pada permukaan pakaian selama dipamerkan di pasar raya. Jadi kesimpulannya, sangat penting untuk mencuci baju bayi yang baru dibeli itu.

Memilih sabun untuk mencuci pakaian bayi

Sabun khas untuk pakaian bayi banyak dijual di kedai-kedai kelengkapan bayi. Ibu disarankan untuk memilih sabun khas ini kerana lebih sesuai untuk kulit bayi. Malah sabun cecair juga mudah meresap, mudah larut dan sesuai untuk cucian mesin.

Jika nak menggunakan sabun cucian biasa masih dibolehkan tapi kena peka takut kulit anak sensitif.

Ibu juga perlu memerhatikan beberapa perkara ini:

- Gunakan sabun cecair mengikut sukatan yang dicadangkan pada botol mengikut jumlah muatan pakaian yang akan dicuci.

- Bilas pakaian beberapa kali selepas kitaran basuh selesai untuk benar-benar menghilangkan buih dan sisa sabun.

- Jika mencuci pakaian bayi bersama pakaian lain, ibu disarankan memasukkan pakaian bayi ke dalam jaring mesin basuh (dobi net) agar berasingan daripada pakaian lain, tidak mudah rosak atau terselit

- Asingkan pakaian si kecil daripada pakaian ahli keluarga yang sakit untuk mengelakkan pencemaran bakteria

- Elakkan penggunaan pemutih pakaian pada baju dan kelengkapan bayi.

Seboleh-bolehnya untuk lebih selamat, ibu harus membasuh pakaian bayi secara berasingan supaya dapat mengelakkan alergi pada kulit bayi. Lagi elok biarlah sehingga 6 bulan. Kalau nak asingkan sehingga ibu betul-betul yakin sampai umur anak setahun pun tak mengapa.