Siapa sangka anak yang dilahirkan normal dan sebelum ini sangat aktif bermain, dalam sekelip mata sahaja berubah 360 darjah kehidupannya.

Hanya bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana, Muhammad Faris Zaquan Mohd Makhruzi sudah tidak selincah dahulu.

Bagai tidak disangka-sangka, kejadian jatuh ketika bermain bersama kawan-kawan memberi episod gelap kepada Faris sehinggalah dia disahkan menghidap kanser tulang.

Menurut ibunya, Nor Syuhaida Yahya, dari Kampung Hujung Bandar, Sik, paha kanan anak tunggalnya hanya didapati bengkak sahaja.

“Sebulan sebelum kejadian memang nampak dia jalan terhinjut-hinjut dan dia kata sakit paha. Masa tu saya ingatkan kesan dari dia jatuh dan tak fikir pun sehingga ke tahap serius.

“Namun lama-kelamaan makin bengkak dan terus tak boleh jalan. Bimbang dengan kejadian itu saya bawa ke Hospital  Sultan Abdul Halim Sungai Petani dan doktor sahkan dia di serang kanser tulang,” katanya.

Pergerakan terbatas

Kini kehidupan Faris dah tak macam kanak-kanak lain kerana semuanya terbatas. Dengan usianya yang masih muda, dia belum tahu apa-apa.

Syuhaida juga turut menyatakan pada 24 dan 26 Oktober ini, Faris akan mula menjalani rawatan kimoterapi.

“Walaupun rasa perit, tapi saya perlu reda demi untuk pastikan kesihatannya bertambah baik. Ibu mana yang tak sedih apabila mendapat perkhabaran ini.

“Biarlah terpaksa berhabis duit asalkan anak saya dapat kembali sihat,” jelasnya.

Bagi yang ingin membantu kos rawatan, boleh hubungi nombor 019-4376205 atau salurkan sumbangan menerusi Hong Leong Bank di nombor akaun 044-51-11992-4 atas nama Mohd Makhruzi Ya' akop.

Sumber: sinar harian