Bayi berasa seronok menghisap jari kerana tabiat ini memberikan kepuasan. Menurut Sigmund Freud, menghisap jari adalah salah satu cara kanak-kanak meneroka badannya sendiri dan juga membantu membina personaliti.

Ada kanak-kanak suka hisap ibu jari, manakala yang lain lebih cenderung menghisap jari lain atau puting.

Tidak kiralah apa yang dihisap, kesannya tetap sama sekiranya tabiat ini diteruskan setelah kanak-kanak itu melangkaui umur 5-6 tahun. Secara umum, kesan buruk menghisap jari tidak akan kelihatan sekiranya kanak-kanak tersebut cuma mengamalkan tabiat ini ketika gigi mereka masih 100% gigi susu. Lagi lama tabiat menghisap jari diamalkan, lagi tinggi peluang untuk kanak-kanak tersebut mendapat kesan buruk akibat menghisap jari secara berpanjangan.

Kenapa sesetengah kanak-kanak menghisap jari?

Pada mulanya, sucking reflex (refleks menghisap) digunakan untuk menyusu. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut mula berasa seronok menghisap, lalu akan menghisap jarinya untuk mendapatkan keseronokan.

Tabiat menghisap jari mampu menenangkan dan membuatkan kanak-kanak berasa selamat, contohnya ketika terpisah daripada ibu bapa atau berada dalam suasana asing seperti di tadika.

Sepertimana sesetengah kanak-kanak tidak boleh tidur tanpa bantal busuk mereka, ada kanak-kanak yang tidak boleh tidur jika tidak menghisap jari; tabiat menghisap jari dan memeluk bantal busuk menenangkan dan memudahkan mereka tidur.

Apakah masalah yang boleh timbul daripada tabiat ini?

Kesan buruk akibat menghisap jari bergantung kepada kekerapan, tempoh masa dan kekuatan daya hisapan. Menghisap jari dengan kuat tetapi untuk masa yang singkat mungkin tidak akan memberikan kesan yang begitu ketara berbanding menghisap jari dengan perlahan tetapi untuk masa yang lama, contohnya sepanjang malam ketika kanak-kanak tersebut tidur.

Beberapa kajian mencadangkan bahawa sedikit daya hisapan sudah cukup untuk menggerakkan gigi, jika daya itu diaplikasikan untuk masa yang lama. Jadi, sekiranya jari hanya dihisap dengan perlahan tetapi kekal di dalam mulut sepanjang malam, daya yang dihasilkan cukup untuk menggerakkan gigi dan menimbulkan kesan-kesan lain yang tidak diingini.

Jika tabiat ini diamalkan secara berpanjangan, jari yang dihisap akan menekan gigi ke dalam secara berpanjangan, menyebabkan gigi hadapan atas dan bawah menjadi jarang dan tidak lagi menindih. Pada tahap ini, anak anda mungkin sedikit pelat apabila bertutur, terutamanya ketika menyebut beberapa huruf seperti ‘s’dan ‘f’.

Bergantung kepada kedudukan jari di dalam mulut, gigi hadapan kanak-kanak tersebut mungkin akan bergerak lebih ke hadapan atau lebih ke belakang.

Bagaimana cara untuk menghentikan tabiat ini?

Memberi galakan membina. Contohnya, puji anak anda apabila dia tidak menghisap jari berbanding memarahinya ketika dia menghisap jari. Anak anda akan lebih gembira dan lebih bermotivasi untuk berhenti.

Kanak-kanak yang lebih matang, contohnya yang berusia 6-7 tahun ke atas mungkin boleh memahami kesan-kesan buruk menghisap jari jika diterangkan. Oleh itu, mereka boleh dimotivasi dan diberi galakan untuk berhenti dengan sendiri.

Alat bantuan boleh digunakan untuk menghalang mereka menghisap jari seperti menyapu larutan yang pahit ke atas jari, membalut jari yang dihisap atau memakaikan sarung tangan semasa tidur.

Perkongsian dari Dr Husna Razak (www.mmgazette.com)