Sekiranya anda memegang seorang bayi comel, mesti anda biasa membiarkan si kecil itu menggenggam jari anda. Rasa macam "awww kiutnya!" kan?

Sememangnya normal bagi seorang bayi untuk menggenggamkan tangan seperti penumbuk atau menggenggam objek lain seperti jari. Rupa-rupanya ada fakta saintifik di sebalik kejadian ini.

Ia merupakan salah satu tindakan refleks primitif melibatkan anggota badan yang dipanggil Palmar Grasp Reflex yang sering terjadi pada seorang bayi. Tindakan refleks ini akan terjadi setiap kali anda menyentuh tapak tangan mereka.

Refleks ini mula terbentuk ketika bayi masih lagi berada dalam perut ibu. Ia mula terjadi sekitar minggu ke-16 dalam kandungan dan berlanjutan sehingga usia bayi 5 atau 6 bulan selepas dilahirkan.

Kadang-kadang cengkaman bayi boleh menjadi begitu kuat sehingga menyebabkan ibu menyangka anak dia seorang superhero.

Walaupun tak ada jari atau objek lain, ada kalanya bayi tetap akan menggenggam tangan dengan kuat. Tapi adakah anda tahu kenapa mereka asyik genggam tangan dengan kuat?

Satu kajian yang dibuat ke atas 27 orang bayi telah menunjukkan degupan jantung bayi menjadi lebih tenang apabila mereka memegang jari ibu. Ini mungkin salah satu keajaiban yang Allah kurniakan kepada manusia. Genggaman tangan si kecil yang melingkari jari ibu boleh menyebabkan mereka berasa tenang dan selamat serta-merta.

Bayi yang baru dilahirkan tidak mempunyai pengetahuan meluas tentang dunia luar atau apa yang sedang terjadi. Mungkin inilah sebab mereka menggenggamkan tangan dengan kuat agar berasa lebih terjamin dan selamat.

Apa-apapun, ibu serta ahli keluarga yang lain juga akan mempunyai ikatan yang lebih mesra dengan bayi apabila bersentuhan melalui genggaman erat begitu.

Sumber: iluminasi.com