Mendidik anak-anak melakukan aktiviti mengemas dan membersihkan rumah adalah satu didikan awal amalan kebersihan di rumah. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebung. Asuhan seawal usia lima hingga enam tahun boleh dimulakan di rumah.  

Mengajak anak-anak turut serta dalam kerja-kerja rumah memberikan banyak faedah. Selain daripada mengajr mereka berdikari, ia juga memupuk rasa bertanggungjawab dan merupakan latihan awal mereka tentang tugas-tugas berkaitan kebersihan di kediaman.

Selama ini mereka hanya melihat sahaja kelakuan orang dewasa dan sesekali meniru aksi orang yang rapat dengan mereka seperti ibu bapa dan adik-beradik membuat kerja rumah ketika bermain. Kini tiba masanya untuk mereka mencubanya sendiri.

Merujuk buku Mrs Clean Jeans Housekeeping for Kids, karya Tara Aronson, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan bagi menggalakkan anak-anak melakukan tugas-tugas mengemas sesuai dengan usia mereka.

1. Senaraikan tugasan

Ajak si manja anda berbincang tentang tugas-tugas yang perlu kita lakukan bersama dalam rumah. Gunakan ayat yang paling mudah difahaminya. Terangkan kepada anak sudah tiba masa untuk dia membantu ibu bapa membuat kerja di rumah. Tentu si kecil teruja untuk melakukan kerja-kerja orang dewasa kerana pada peringkat umur ini mereka gemar berlagak seperti orang dewasa.

2. Beri dia kebebasan

Kebebasan dapat menyerlahkan kreativiti seseorang termasuklah kanak-kanak! Biarkan si kecil memilih tugas yang digemari. Elakkan daripada memaksa dan biar dia melakukan dengan rela hati. Kekerapan sekali seminggu atau empat kali sebulan tentu tidak membebankan. Penerangan amat penting supaya anak anda memahami tugas yang perlu dilakukan olehnya.

3. Tetapkan masa

Anda perlu menetapkan masa yang sesuai untuk pelaksanaan tugasnya. Oleh sebab anak masih tidak mengetahui masa, anda perlu Ingatkan si manja bila tiba masa untuk  melipat pakaian atau mengemas mainan dan meja tulisnya.  Tidak mustahil lama-kelamaan hal tersebut akan menjadi rutinnya tanpa perlu diingatkan berulang kali!

4. Berikan tempoh masa yang sesuai

Tugas ini memerlukan komitmen bersama. Ibu bapa perlu beri tempoh yang sesuai dan memastikan perlaksanaan tugas-tugas membersihkan dan mengemas ini tidak mengganggu jadual harian si manja. Jangan pula ponteng aktiviti mingguan mereka seperti kelas berenang atau kelas seni mempertahankan diri dek kerana kerja rumah yang perlu disiapkan.

5. Berikan panduan dan penerangan secara praktikal

Beri panduan secukupnya sebelum membiarkan mereka melakukan sendiri tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan agar matlamat mendapatkan rumah bersih dan kemas tercapai. Pada peringkat usia ini, anak anda sudah  boleh memahami langkah-langkah mudah.

6. Jadikan ia satu bentuk mainan

Ciptakan suasana yang menyeronokkan dengan nyanyian dan lagu. Pasang muzik kegemaran sepanjang pelaksanaan aktiviti membersihkan rumah supaya si kecil tidak bosan dan kekal cergas.

7. Ganjaran, motivasi dan upah

Pujilah si manja apabila dia berjaya melakukan tugasannya. Sekali sekala anda boleh menyuntik motivasi kepada anak-anak dengan memberikan ganjaran atau upah yang bukan berbentuk wang seperti buku, tiket menonton wayang atau hidangan makanan kegemaran mereka.

8. Lakukan aktiviti secara berkumpulan

Bagi menimbulkan keseronokan, buat kerja rumah dalam kumpulan. Misalnya gabungkan si manja dengan kakaknya yang berusia 10 tahun untuk mengemas bilik tidur yang dikongsi mereka.  Pada usia lima dan enam tahun anak-anak sudah faham erti kerjasama dan bantu-membantu. Anda juga boleh turut serta. Aktiviti ini akan lebih menyeronokkan dan merapatkan hubungan  kekeluargaan.

9. Jumlah tugas

Berapa pula tugas yang mampu dilaksanakannya dalam sehari? Gunakan formula ini untuk menentukannya. Formulanya ialah:

Sebagai contoh bagi anak berusia lima tahun, maka boleh  pertanggungjawabkan dua  hingga tiga tugasan seperti membantu  anda melipat pakaian bersih, mengemas mainan dan menyiram pokok dalam tempoh yang ditetapkan.

Umur dibahagikan dengan 2=jumlah tugas yang mampu dilaksanakan sehari mengikut umur

 10. Hadkan penggunaan objek berbahaya

Penggunaan peralatan yang tajam seperti gunting dan pisau juga perlu dielakkan pada usia ini. Jika perlu menggunakan peralatan seperti penyiram pokok atau penyapu, anda boleh melatih mereka terlebih dahulu teknik penggunaan yang betul. Penerangan dan demo menerusi langkah demi langkah penting untuk mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.

TUGAS MENGIKUT UMUR 

5 tahun

-mengumpul dan menyimpan barang-barang permainan ke dalam sebuah kotak.

-meletakkan pakaian  kotor ke dalam bakul.

-melipat pakaian bersih dan menyimpannya ke dalam laci.

-meletakkan pinggan dan mangkuk kotor ke dalam sinki.

-menyimpan kembali buku di rak dan mengemas alat tulis ke dalam kotak khas.

-mengelap perabot.

-menyiram pokok.

6  tahun

-aktiviti mengemas di atas dan;

-memandikan haiwan peliharaan dan membersihkan mangkuk makanan sendiri.

-membantu membersihkan makanan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

-mengemas bilik tidur sendiri.

-membersihkan lantai menggunakan penyapu.

-membersihkan lantai atau permaidani menggunakan penyedut hampa gas dengan bantuan (bergantung pada saiz penyedut hampa gas).

-mengasingkan sampah dengan bahan buangan yang boleh dikitarkan semula.

-membuang sampah dari bakul sampah ke tempat pengumpulan sampah utama di rumah.

-menyapu daun-daun kering di halaman.

-melakukan aktiviti berkebun yang asas seperti mencantas pokok dan menggemburkan tanah.

Percayalah anak anda mampu melakukannya!